KUALA LUMPUR – “Saya telah menyatakan pandangan dengan jujur dan berterus terang.”
Itu penjelasan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh mengenai pendirian yang disuarakannya ketika Mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan berhubung permohonan pengampunan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Hannah berkata pandangan berkenaan dibuat berlandaskan hati nuraninya serta mengambil kira kepentingan negara selepas meneliti pendapat bertulis Peguam Negara.
“Saya telah pun memberikan pandangan atas kapasiti sebagai Menteri yang bertanggungjawab terhadap Wilayah Persekutuan dalam mesyuarat rasmi Lembaga Pengampunan yang bersidang pada hari Jumaat lepas bertarikh 11 September.
“Saya telah menyatakan pandangan dengan jujur dan berterus terang, berlandaskan hati nurani (conscience) saya demi kepentingan negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Penjelasan itu menyusul selepas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said dilaporkan berkata persoalan mengenai apa yang berlaku dalam mesyuarat berkenaan, termasuk penangguhan permohonan itu, perlu dirujuk kepada Hannah selaku menteri yang bertanggungjawab terhadap Wilayah Persekutuan.
Bagaimanapun, Hannah menegaskan kuasa dan keputusan muktamad berhubung perkara berkenaan terletak pada Yang di-Pertuan Agong selaras dengan Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan.
Pada 11 September lalu, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berkenan supaya keputusan mengenai permohonan pengampunan Najib ditangguhkan ke mesyuarat Lembaga Pengampunan yang akan diadakan kelak.
Perkara itu diumumkan Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU), Jabatan Perdana Menteri selepas Mesyuarat Lembaga Pengampunan Ke-63 bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya di Istana Negara.
Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan dipengerusikan Yang di-Pertuan Agong dan turut dianggotai Peguam Negara, menteri yang bertanggungjawab terhadap Wilayah Persekutuan serta tiga anggota lain yang dilantik Seri Paduka Baginda.
