Ahad, 19 Julai 2026
spot_img
Main Menu MYBERITA
NasionalSorakan 'Hidup Muar' iringi penamat larian kesyukuran Syed Saddiq

Sorakan ‘Hidup Muar’ iringi penamat larian kesyukuran Syed Saddiq

MUAR – Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berjaya menamatkan Misi Larian Kesyukuran sejauh hampir 170 kilometer dengan penuh bergaya apabila kutipan dana kebajikan mencecah RM361,848, jauh melepasi sasaran awal RM200,000.

Kejayaan mengumpulkan dana tersebut dalam tempoh hanya dua hari membuktikan sokongan luar biasa rakyat terhadap misi kebajikan yang digerakkan oleh beliau.

Syed Saddiq menamatkan larian di Laman Maharani, Muar kira-kira pukul 9.15 pagi Ahad selepas memulakan larian terakhir sejauh 17 kilometer dari Simpang Sungai Rambai pada pukul 7 pagi.

@ssparlimenmuar Hero Muar dah sampai!!! Terima Kasih sambut orang orang Muo ❤️🥹 #syedsaddiq #bellaastillah #larian #live #fyppppppppppppppppppppppp ♬ original sound – JaiChenkoz

Ketibaannya disambut ribuan penduduk yang mula memenuhi kawasan penamat seawal pukul 8 pagi sambil melaungkan kata-kata semangat seperti “Hidup Muar, Hidup Muar” dan “Tahniah YB”.

Suasana menjadi lebih meriah apabila Syed Saddiq yang mengenakan pakaian berwarna hitam merentasi Jambatan Sultan Ismail sebelum disambut sorakan para penyokong yang menanti di Laman Maharani.

Pada hari terakhir larian, beliau turut diiringi beberapa kumpulan pelari termasuk komuniti Muo Runner yang bersama-sama mengiringinya sehingga ke garisan penamat.

Misi Larian Kesyukuran itu bermula pada 16 Julai lalu dari pekarangan Istana Kehakiman di Presint 3, Putrajaya sebelum merentasi Negeri Sembilan dan Melaka menuju ke Muar.

Menurut Syed Saddiq, larian berkenaan bukan sekadar bertujuan mengumpul dana kebajikan, malah menjadi simbolik tanda kesyukuran selepas melalui perjuangan panjang bagi membersihkan nama dan maruahnya.

Beliau berkata, dana yang berjaya dikumpulkan akan dimanfaatkan untuk menyediakan bakul makanan kepada keluarga yang memerlukan di Parlimen Muar serta membeli iPad bagi membantu pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan meneruskan pembelajaran.

Setakat semalam, jumlah kutipan telah mencecah RM361,848, sekali gus melepasi sasaran asal RM200,000 yang ditetapkan bagi menjayakan misi kebajikan tersebut.

Kejayaan itu turut membuktikan semangat kebersamaan masyarakat dalam menyokong usaha membantu golongan memerlukan, selain menjadi penutup manis kepada Misi Larian Kesyukuran yang mendapat perhatian ramai di seluruh negara.

-Iklan-
ARTIKEL BERKAITAN
-Iklan-