JenayahSPRM sedia siasat jika ada bukti salah guna peruntukan RM180,000 ADUN PH

SPRM sedia siasat jika ada bukti salah guna peruntukan RM180,000 ADUN PH

SEREMBAN – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuka ruang untuk menyiasat isu peruntukan RM180,000 kepada setiap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan sekiranya terdapat bukti menunjukkan berlaku penyalahgunaan dana atau pelanggaran undang-undang.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman berkata, laporan yang disertakan bukti kukuh boleh menjadi asas kepada suruhanjaya itu untuk memulakan siasatan berhubung penyaluran peruntukan berkenaan.

Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa setakat ini SPRM tidak melihat terdapat isu dari sudut kelulusan peruntukan tersebut kerana ia dibuat ketika kerajaan negeri masih mempunyai kuasa yang sah.

“Kalau kerajaan itu kerajaan yang sah, tiada masalah untuk kerajaan membuat sesuatu dasar atau peruntukan, asalkan tidak bercanggah dengan undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat SPRM, hari ini.

Menurut Abd Halim, kedudukan itu bagaimanapun berbeza sekiranya sesebuah kerajaan sudah berstatus kerajaan sementara.

Katanya, kerajaan sementara tidak sepatutnya memperkenalkan dasar baharu yang boleh memberi kesan atau mengikat pentadbiran yang mengambil alih selepas pilihan raya.

Isu peruntukan berkenaan mendapat perhatian selepas 17 ADUN PH dan dua penyelaras DUN daripada pentadbiran Negeri Sembilan sebelum ini diarahkan memulangkan peruntukan bagi Ogos dan September susulan pembubaran DUN pada 5 Jun lalu.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim sebelum ini berkata, peruntukan tersebut diluluskan pada 3 Jun sebelum disalurkan ke akaun penerima pada 4 Jun, iaitu sehari sebelum DUN dibubarkan.

Menurutnya, arahan memulangkan dana itu dibuat bagi memastikan penggunaan wang kerajaan negeri selaras dengan status penerima selepas pembubaran DUN, selain memelihara ketelusan dan integriti pengurusan kewangan negeri.

Pejabat Menteri Besar akan mengeluarkan surat tuntutan bayaran balik kepada penerima terlibat dengan tempoh 30 hari diberikan untuk memulangkan dana berkenaan.

Perkembangan itu meletakkan perhatian terhadap proses pengurusan peruntukan kerajaan negeri menjelang pembubaran DUN, namun SPRM menegaskan tindakan penyiasatan hanya boleh dilakukan sekiranya terdapat asas serta bukti menunjukkan berlakunya kesalahan.

-Iklan-
ARTIKEL BERKAITAN
-Iklan-