SEREMBAN – Golongan penjaja dan peniaga kecil di Negeri Sembilan bakal menikmati penjimatan kos perniagaan apabila bayaran lesen perniagaan dikecualikan sepenuhnya mulai 1 Januari 2027.
Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim berkata, inisiatif Kerajaan Negeri itu akan dilaksanakan menerusi semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan merangkumi permohonan lesen baharu serta pembaharuan lesen sedia ada.
Menurutnya, langkah berkenaan diambil bagi mengurangkan sebahagian kos yang perlu ditanggung penjaja dan peniaga kecil dalam menjalankan perniagaan.
“Pengecualian ini melibatkan pelbagai kategori penjaja, antaranya penjaja pasar tani, kereta tolak, berpayung, berjentera atau food truck, serta penjaja pasar dan bazar Ramadan.
“Walau bagaimanapun, pengecualian ini hanya melibatkan bayaran lesen perniagaan. Bayaran lain yang berkaitan seperti fee pemprosesan, lesen patil, caj papan iklan, caj kebersihan dan sewaan tapak masih perlu dijelaskan mengikut kadar yang ditetapkan oleh PBT masing-masing,” katanya.
Beliau berkata, pelaksanaan pengecualian itu mencerminkan keprihatinan Kerajaan Negeri terhadap golongan penjaja dan peniaga kecil yang berdepan pelbagai kos dalam mengendalikan perniagaan.
Pada masa sama, Ismail menjelaskan pengecualian berkenaan tidak bermakna semua bayaran berkaitan urusan perniagaan di bawah PBT dimansuhkan.
Sebaliknya, peniaga masih perlu menjelaskan caj lain yang ditetapkan PBT masing-masing termasuk kos pemprosesan, kebersihan, papan iklan dan sewaan tapak sekiranya berkenaan.
Kerajaan Negeri berharap pengecualian bayaran lesen perniagaan itu dapat memberi sedikit kelegaan kepada penjaja, selain membantu mereka mengurangkan kos operasi dan meneruskan aktiviti perniagaan masing-masing.