Selasa | 22/09/2026 | 5:38:19 pm
HomeDuniaSaintis terkejut, ikan Laut China Selatan ini boleh ‘berjalan’ di dasar laut

Saintis terkejut, ikan Laut China Selatan ini boleh ‘berjalan’ di dasar laut

CHINA – Penemuan luar biasa di dasar Laut China Selatan mengejutkan penyelidik apabila seekor ikan laut dalam menyerupai gabungan ikan dan udang dirakam ‘berjalan’ secara mengundur, tingkah laku yang dipercayai belum pernah direkodkan pada ikan sebelum ini.

RINGKASAN BERITA
  • Ikan dikenali sebagai armoured searobin atau nama saintifiknya Scalicus engyceros itu dirakam ketika sekumpulan penyelidik menjalankan pemerhatian terhadap hidupan laut dalam di bahagian utara…
  • Penyelidikan membabitkan pasukan dari Sun Yat-sen University dan Southern Marine Science and Engineering Guangdong Laboratory di China menggunakan kenderaan kawalan jauh serta kenderaan bawah…
  • Lebih menarik, pemerhatian itu mengesahkan armoured searobin bukan sahaja mampu ‘berjalan’ ke hadapan dan ke sisi, malah boleh bergerak secara mengundur menggunakan struktur berkenaan.
  • Penyelidik utama kajian, Han Tian berkata, Scalicus engyceros merupakan antara beberapa spesies ikan yang diketahui mempunyai keupayaan untuk berjalan.
Ringkasan automatik berdasarkan laporan MYBERITA.

Ikan dikenali sebagai armoured searobin atau nama saintifiknya Scalicus engyceros itu dirakam ketika sekumpulan penyelidik menjalankan pemerhatian terhadap hidupan laut dalam di bahagian utara Laut China Selatan.

Penyelidikan membabitkan pasukan dari Sun Yat-sen University dan Southern Marine Science and Engineering Guangdong Laboratory di China menggunakan kenderaan kawalan jauh serta kenderaan bawah air berkru bagi memerhatikan spesies berkenaan dalam habitat semula jadinya.

Rakaman menunjukkan ikan berkenaan menggunakan jejari khas yang memanjang daripada sirip pektoralnya seperti kaki untuk bergerak di sepanjang dasar laut.

Lebih menarik, pemerhatian itu mengesahkan armoured searobin bukan sahaja mampu ‘berjalan’ ke hadapan dan ke sisi, malah boleh bergerak secara mengundur menggunakan struktur berkenaan.

Penyelidik utama kajian, Han Tian berkata, Scalicus engyceros merupakan antara beberapa spesies ikan yang diketahui mempunyai keupayaan untuk berjalan.

Bentuk fizikalnya yang unik dengan tubuh seperti ikan serta anggota menyerupai udang menyebabkan haiwan itu turut mendapat jolokan ‘fish-prawn hybrid’ atau ‘ikan-udang’.

Dalam pemerhatian berkenaan, penyelidik turut merekodkan tiga spesies armoured searobin iaitu Scalicus engycerosParaheminodus murrayi dan Peristedion liorhynchus.

Ketiga-tiga spesies berkenaan menunjukkan tingkah laku tersendiri ketika berada di dasar laut, termasuk melakukan lompatan mengejut menggunakan jejari sirip dan ekor apabila berdepan ancaman.

Armoured searobin daripada keluarga Peristediidae mempunyai jejari sirip pektoral yang berevolusi menjadi struktur berasingan menyerupai kaki, membolehkannya bergerak merentasi dasar laut.

Ia turut mempunyai beberapa pasang sesungut di sekitar mulut menyerupai gigi pencakar yang digunakan untuk mengesan dan mencari mangsa di dalam sedimen, manakala sirip pektoral berbentuk rata membantu mengekalkan keseimbangan ketika berjalan atau berenang.

Menurut penyelidik, keupayaan ikan berkenaan bergerak ke sisi dan mengundur sebelum ini tidak diketahui, sekali gus menjadikan rakaman tersebut penting dalam memahami tingkah laku hidupan laut dalam.

Hasil kajian berkenaan diterbitkan dalam jurnal Ocean-Land-Atmosphere Research, sekali gus memberi gambaran lebih jelas mengenai haiwan yang sebelum ini banyak dikaji menerusi spesimen diawet. – BBC

RELATED ARTICLES
- Iklan -

Most Popular

Selasa, 22 September 2026 | --:--:-- pagi
CARI DI MYBERITA
TERKINI
Baru sahaja
|