KUALA LUMPUR — Salah seorang peserta Misi Kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF), Muhammad Hareez Adzrami atau lebih dikenali sebagai Haroqs, berdoa agar rakyat Palestin terus dilimpahi dengan rezeki ketika dalam perjalanan menuju ke Gaza baru-baru ini.
Dalam hantaran di Threads pada 29 September lalu, Haroqs berkongsi pengalaman ketika seekor ikan tiba-tiba melompat masuk ke dalam botnya sebelum memasuki zon kuning. Terharu dengan kejadian itu, beliau lantas berdoa agar Allah SWT mengurniakan rezeki ikan yang lebih besar dan banyak buat penduduk Palestin.
Tangkap terakhir sebelum zon kuning

“Ya Allah, Engkau hujankanlah rezeki seperti ini kepada saudaraku di bumi Gaza, malah lebih besar dan banyak untuk mereka,” katanya dalam hantaran tersebut.
Hari ini, tular sebuah video memaparkan kegembiraan rakyat Palestin yang menerima rezeki ikan dalam jumlah melimpah ruah. Menerusi rakaman tersebut, kelihatan mereka tidak putus-putus menzahirkan kalimah Masya-Allah tanda kesyukuran.
Di ruangan komen, warganet Malaysia menyifatkan doa Haroqs sudah dimakbulkan Allah SWT. Mereka turut berpendapat bahawa ia merupakan cara Allah menggantikan bekalan makanan yang tidak dapat disalurkan oleh sukarelawan Malaysia selepas ditahan tentera Zionis.

Sebelum ini, seramai 23 sukarelawan Malaysia yang menyertai misi kemanusiaan GSF disahkan berada dalam keadaan selamat dan akan dihantar pulang melalui sebuah negara ketiga.

