PUTRAJAYA â Datin Seri Rosmah Mansor hari ini gagal dalam rayuan akhirnya untuk menyingkirkan Hakim Datuk Mohamed Zaini Mazlan yang mensabitkannya dalam kes rasuah projek tenaga solar bernilai RM1.25 bilion melibatkan 369 sekolah di pedalaman Sarawak.
Panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan Malaysia yang dipengerusikan Datuk Nordin Hassan sebulat suara menolak rayuan tersebut selepas mendapati tiada kesilapan undang-undang atau fakta serius yang mewajarkan campur tangan mahkamah tertinggi itu.
Menurut Nordin, Rosmah, 74, gagal membuktikan wujudnya bahaya sebenar berat sebelah oleh Mohamed Zaini ketika menyampaikan keputusan pada 1 September 2022.
Mahkamah turut memutuskan bahawa Mohamed Zaini tidak melanggar Kod Etika Hakim 2009 berhubung dakwaan pembocoran draf penghakiman yang didakwa disediakan oleh Unit Penyelidikan Mahkamah Kuala Lumpur.
Turut bersidang dalam panel itu ialah Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali dan Datuk Azimah Omar.
Sebelum ini, Rosmah memfailkan notis usul pada 26 Ogos 2022 bagi memohon hakim berkenaan menarik diri atas alasan meragui integriti susulan insiden kebocoran dokumen penghakiman yang disiarkan sebuah portal berita.
Beliau juga memohon supaya keputusan kes solar digantung sementara menunggu penyelesaian permohonan tersebut serta siasatan terhadap laporan polis berkaitan.
Bagaimanapun, Mahkamah Persekutuan mendapati keputusan hakim bicara untuk tidak menangguhkan prosiding adalah wajar dan tidak melanggar prinsip keadilan asasi atau hak perlembagaan pemohon.
Panel turut menegaskan bahawa tiada prosedur yang tidak dipatuhi dalam kes berkenaan dan tiada kesilapan yang boleh dirayu sehingga memerlukan campur tangan mahkamah.
Pada 1 September 2022, Mohamed Zaini mensabitkan Rosmah atas tiga pertuduhan rasuah berkaitan projek solar hibrid tersebut dan menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun bagi setiap pertuduhan yang berjalan serentak, selain denda RM970 juta dengan hukuman penjara tambahan 30 tahun sekiranya gagal membayarnya. – MYBERITA

