Rayuan Peguam Negara halang semakan kehakiman Najib diputuskan hari ini

PUTRAJAYA – Mahkamah Persekutuan di sini hari ini akan memutuskan rayuan Peguam Negara bagi menghalang bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak daripada meneruskan prosiding semakan kehakiman berkaitan Titah Adendum.

Keputusan itu akan diumumkan oleh panel tiga hakim diketuai Hakim Besar Malaya, Tan Sri Hasnah Mohammed Hashim bersama Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Zabariah Mohd Yusof dan Datuk Hanipah Farikullah pada jam 9 pagi.

Panel akan menentukan sama ada mengekalkan atau mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan yang sebelum ini memulangkan semakan kehakiman Najib ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk dibicarakan.

Jika rayuan ditolak, kes akan diteruskan di Mahkamah Tinggi mengikut tarikh perbicaraan yang telah ditetapkan. Namun, jika mahkamah membenarkan rayuan tersebut, hasrat Najib, 72, untuk mendapatkan perintah mandamus supaya baki hukuman penjaranya dijalani di rumah akan berakhir serta-merta.

Walau bagaimanapun, pasukan pembelaan Najib masih berpeluang memohon pengampunan kali kedua kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.

Pada 9 Julai lalu, mahkamah mendengar hujahan Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar, Peguam Kanan Persekutuan, Shamsul Bolhassan, serta peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib.

Mahkamah Rayuan pada 6 Januari lalu membenarkan rayuan Najib untuk memulakan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi bagi memaksa kerajaan dan enam pihak lain menjawab serta mengesahkan kewujudan Titah Adendum bertarikh Januari 2023.

Shafee dalam hujahnya mendakwa Peguam Negara sepatutnya berterus terang mengenai kewujudan titah tersebut dari awal, selaras dengan prinsip duty of candour atau kewajipan bersikap jujur dan terbuka dalam semakan kehakiman.

Menurutnya, dokumen berkaitan hanya diperoleh anak Najib, Datuk Mohamad Nizar, selepas Mahkamah Tinggi menolak permohonan semakan, dan penggunaan dokumen tersebut memerlukan kebenaran Istana Negara yang diperoleh pada 2 Disember 2024.

BACA JUGA:  Tragedi UPSI: Terengganu salur bantuan kepada keluarga mangsa

Bagaimanapun, Mohd Dusuki berhujah bahawa Najib dan anaknya gagal mengemukakan bukti munasabah mengenai kewujudan titah itu pada peringkat awal, meskipun Mohamad Nizar berpeluang berbuat demikian.

Najib kini menjalani hukuman penjara enam tahun di Penjara Kajang selepas disabitkan menyeleweng RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd. Beliau menegaskan Titah Adendum daripada Yang di-Pertuan Agong ke-16 membolehkan baki tempoh hukuman dijalani secara tahanan di rumah.

Adam Hafiz
Adam Hafiz
adamhafiz@portalmyberita.com

TRENDING

Agong, Raja Permaisuri hargai kesabaran dan jasa guru

KUALA LUMPUR - Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan...

TARUNG: Unforgiven catat kutipan RM10.5 juta dalam seminggu tayang

KUALA LUMPUR - Filem aksi tempatan, TARUNG: Unforgiven terus...

Giliran Fazley Yaakob, Fariedz pula tersingkir konsert minggu keempat TTMM2

SHAH ALAM - Pasangan bintang program realiti Talk To...

Kes hina Sultan Selangor, “Bukan tangkap hari ini, esok terus tuduh” – Ayob Khan

GEORGE TOWN - Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang melengkapkan...

Kes gadis ditikam 61 kali, dakwaan suspek ada kaitan polis tidak benar – Ayob Khan

GEORGE TOWN - Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri...