JOHOR BAHRU – Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor secara rasmi dibubarkan hari ini, sekali gus membuka laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, pembubaran DUN Johor dibuat selepas beliau menghadap dan memperoleh perkenan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail.
Menurut beliau, watikah pembubaran DUN Johor Ke-15 telah diperkenankan berkuat kuasa hari ini selaras dengan Undang-Undang Tubuh Negeri Johor.
“Pembubaran ini dibuat bagi memberi laluan kepada proses demokrasi. Keputusan ini dibuat dengan niat memastikan rakyat Johor terus memiliki kerajaan yang stabil dan kukuh,” katanya dalam sidang media khas di Kediaman Menteri Besar Johor, petang tadi.
Pembubaran DUN itu membolehkan pengundi berdaftar menentukan kerajaan negeri baharu menerusi pertandingan bagi 56 kerusi DUN di seluruh Johor.
Susulan pengumuman tersebut, Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) memaklumkan akan mengadakan mesyuarat khas selepas menerima notis rasmi pembubaran daripada Speaker Dewan Negeri Johor.
Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun berkata, mesyuarat khas itu bertujuan menentukan rangka kerja serta tarikh penting bagi PRN Johor ke-16 termasuk tarikh writ pilihan raya, hari penamaan calon, tempoh berkempen, pengundian awal dan hari mengundi.
“SPR akan memaklumkan tarikh mesyuarat khas selepas menerima notis rasmi daripada Speaker Dewan Negeri Johor,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Selepas pembubaran DUN, kerajaan negeri sedia ada akan berfungsi sebagai kerajaan sementara atau caretaker government yang hanya mengendalikan urusan pentadbiran harian tanpa membuat keputusan dasar baharu atau meluluskan projek besar sehingga kerajaan baharu dibentuk.
Dalam perkembangan berkaitan, Perikatan Nasional (PN) Johor mengesahkan akan bertanding di kesemua 56 kerusi DUN pada PRN kali ini.
Pengerusi PN Johor, Datuk Dr. Sahruddin Jamal berkata, gabungan yang dianggotai Bersatu, Pas, Gerakan dan Parti India Progresif Malaysia (MIPP) itu telah bersedia sepenuhnya untuk menghadapi pilihan raya.
“PN Johor bersedia bertanding di kesemua 56 kerusi DUN dan seluruh jentera parti telah diarahkan diaktifkan serta-merta,” katanya.
Pada PRN Johor 2022, Barisan Nasional (BN) memenangi 40 kerusi DUN, diikuti Pakatan Harapan (PH) dengan 12 kerusi dan Perikatan Nasional (PN) tiga kerusi.
Keputusan rasmi PRN Johor ke-16 kelak akan menentukan parti atau gabungan yang memperoleh majoriti kerusi untuk membentuk kerajaan negeri baharu serta mencalonkan Menteri Besar bagi mendapat perkenan pihak istana.

