KUALA LUMPUR – Kementerian Luar Negeri (KLN) sedang memantau rapat insiden perlanggaran membabitkan dua kereta api penumpang berkelajuan tinggi berhampiran Urda, Toledo, Sepanyol, yang mengakibatkan sekurang-kurangnya 10 kematian dan beberapa kecederaan.
Menurut KLN dalam satu kenyataan malam ini, Kedutaan Besar Malaysia di Madrid setakat ini masih belum menerima pengesahan mengenai mana-mana rakyat Malaysia yang terjejas dalam insiden berkenaan.
KLN memaklumkan bahawa pihak kedutaan sedang berhubung dengan pihak berkuasa Sepanyol serta pengendali perkhidmatan kereta api berkaitan bagi mengenal pasti sama ada terdapat rakyat Malaysia dalam kalangan penumpang yang terlibat.
Usaha itu turut bertujuan menyelaraskan bantuan konsular sekiranya diperlukan.
“Pada peringkat awal ini, kedutaan masih belum menerima pengesahan mengenai mana-mana rakyat Malaysia yang terjejas akibat insiden tersebut,” menurut kenyataan itu.
Susulan kejadian berkenaan, perkhidmatan kereta api berkelajuan tinggi antara Madrid dan Andalusia dilaporkan digantung.
Sehubungan itu, rakyat Malaysia yang sedang berada di Sepanyol, khususnya mereka yang merancang menggunakan perkhidmatan kereta api terjejas, dinasihatkan supaya menyemak perkembangan terkini sebelum meneruskan perjalanan.
KLN turut menggesa rakyat Malaysia yang mungkin terjejas atau individu yang mempunyai maklumat mengenai rakyat Malaysia yang berkemungkinan terlibat supaya menghubungi Kedutaan Besar Malaysia di Madrid.
Selain itu, rakyat Malaysia yang menetap atau sedang berada di Sepanyol digalakkan mendaftar serta mengemas kini maklumat perhubungan melalui portal e-Konsular di https://ekonsular.kln.gov.my.
Dalam perkembangan berkaitan, sekurang-kurangnya 10 orang dilaporkan maut selepas dua kereta api berkelajuan tinggi bertembung di wilayah Toledo, tengah Sepanyol, manakala beberapa penumpang lain dikhuatiri cedera.
Jurucakap kerajaan wilayah Castilla-La Mancha, Esther Padilla, berkata jumlah kematian dijangka meningkat memandangkan operasi menyelamat masih giat dijalankan bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit.
Nahas itu dipercayai berlaku apabila sebuah kereta api laju merempuh bahagian belakang sebuah lagi tren sehingga menyebabkan dua gerabak tergelincir dari landasan.
Operasi menyelamat dan usaha mengenal pasti mangsa masih diteruskan pihak berkuasa Sepanyol.




