Ahad, 30 Ogos 2026
IKLAN PTPTN

Cabutan Prime Bonanza

Simpan SSPN Prime & rebut hadiah menarik.

Sertai →
Pelbagai80,000 dijangka banjiri Putrajaya, 2,354 polis siap kawal sambutan Merdeka

80,000 dijangka banjiri Putrajaya, 2,354 polis siap kawal sambutan Merdeka

PUTRAJAYA – Seramai 2,354 pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) ditugaskan bagi memastikan keselamatan serta kelancaran sambutan Hari Kebangsaan 2026 di Dataran Putrajaya, Isnin ini.

Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Aidi Sham Mohamed berkata, penugasan itu melibatkan kawalan statik dan kawalan lalu lintas di lokasi strategik sekitar Dataran Putrajaya dan keseluruhan Putrajaya.

Secara keseluruhan, PDRM menyediakan 3,811 pegawai dan anggota bagi memastikan keselamatan serta kelancaran aliran trafik menjelang sambutan Hari Kebangsaan ke-69. Daripada jumlah itu, 1,755 anggota ditugaskan untuk kawalan keselamatan statik, termasuk anggota dari Kuala Lumpur, Selangor, Putrajaya dan Bukit Aman.

Aidi Sham menasihatkan orang ramai supaya hadir lebih awal serta mematuhi semua peraturan yang ditetapkan pihak berkuasa, termasuk tidak meletakkan kenderaan di kawasan larangan dan tidak menghalang lalu lintas.

Pengunjung juga dinasihatkan supaya menjaga keselamatan diri, khususnya kanak-kanak, selain memastikan barangan peribadi seperti telefon bimbit dan beg berada dalam keadaan selamat.

Beberapa laluan utama di Putrajaya turut ditutup secara berperingkat bagi memastikan kelancaran perjalanan sambutan. Antaranya Jambatan Seri Wawasan, Jambatan Seri Saujana, Jambatan Seri Gemilang, Jambatan Putra dan Jambatan Seri Ehsan.

Sehubungan itu, orang ramai digalakkan merancang perjalanan lebih awal dan menggunakan perkhidmatan bas ulang-alik percuma yang disediakan bagi memudahkan pergerakan ke lokasi sambutan.

Pengunjung turut diingatkan supaya tidak membawa sebarang senjata atau barangan berbahaya serta tidak menerbangkan dron tanpa kelulusan kerana Putrajaya merupakan kawasan larangan terbang.

Sambutan Hari Kebangsaan ke-69 bertemakan “Malaysia MADANI: Kesejahteraan Dinikmati” akan berlangsung di Dataran Putrajaya pada 31 Ogos ini dan dijangka menarik lebih 80,000 pengunjung.

Persiapan keselamatan turut melibatkan kerjasama pelbagai agensi termasuk Angkatan Tentera Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, RELA dan Perbadanan Putrajaya.

-Iklan-
ARTIKEL BERKAITAN
-Iklan-