KUALA LUMPUR – Penyanyi dan komposer, Yasin Sulaiman tampil memohon maaf serta menarik semula dakwaan yang pernah dibuatnya mengenai kewujudan dadah, hierarki dan layanan berdasarkan pengaruh kewangan dalam penjara.
- Tindakan itu dibuat selepas Jabatan Penjara Malaysia pada Isnin menafikan dakwaan berkenaan dan menegaskan institusi penjara mempunyai prosedur operasi standard (SOP) bagi menangani salah…
- Yasin berkata, selepas mengambil maklum penjelasan Jabatan Penjara, beliau menerima penafian pihak berkenaan dan mengakui kenyataan yang dibuatnya menerusi beberapa temu bual serta podcast…
- Menurut Yasin, keadaan dirinya ketika berada dalam penjara sebelum menerima rawatan psikiatri di Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak turut mempengaruhi cara beliau memahami dan…
- Beliau berkata, ketika itu dirinya berada dalam episod mania berkaitan gangguan bipolar sehingga menyebabkan beberapa perkara mungkin disalah anggap atau disalah tafsir.
Tindakan itu dibuat selepas Jabatan Penjara Malaysia pada Isnin menafikan dakwaan berkenaan dan menegaskan institusi penjara mempunyai prosedur operasi standard (SOP) bagi menangani salah laku serta perkara negatif dalam kalangan penghuni.
Yasin berkata, selepas mengambil maklum penjelasan Jabatan Penjara, beliau menerima penafian pihak berkenaan dan mengakui kenyataan yang dibuatnya menerusi beberapa temu bual serta podcast sebelum ini adalah tidak tepat.
“Jadi, saya ambil maklum pada hari ini Jabatan Penjara Malaysia telah tampil menafikan dakwaan saya dan apa yang saya nak lakukan pada petang ini adalah saya ingin menyatakan bahawa penafian yang telah mereka lakukan adalah benar.
“Semua yang saya katakan dalam podcast-podcast itu tak betul,” katanya menerusi satu rakaman video.
Menurut Yasin, keadaan dirinya ketika berada dalam penjara sebelum menerima rawatan psikiatri di Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak turut mempengaruhi cara beliau memahami dan mentafsir keadaan di sekelilingnya.
Beliau berkata, ketika itu dirinya berada dalam episod mania berkaitan gangguan bipolar sehingga menyebabkan beberapa perkara mungkin disalah anggap atau disalah tafsir.
“Mungkin akibat daripada itu yang buat saya tersalah anggap, tersalah faham, tersalah tafsir, melihat dan mendengar benda yang tak ada sehingga saya membuat kesimpulan yang tidak betul.
“Jadi, pihak Jabatan Penjara lebih tahu tentang penjara daripada saya,” katanya.
Dalam masa sama, Yasin turut menyampaikan permohonan maaf kepada Jabatan Penjara Malaysia dan menegaskan beliau tidak pernah berniat mencemarkan nama baik institusi berkenaan.
“Saya mohon maaf dan kesal malah tidak pernah bermaksud untuk mencemarkan nama baik Jabatan Penjara Malaysia.
“Para pegawai dan anggota di penjara mempunyai tugas yang berat. Mereka memikul amanah besar dan saya ucapkan terima kasih di atas segala khidmat yang mereka berikan kepada masyarakat dan negara,” katanya.
Yasin berharap penjelasan tersebut dapat menamatkan kekeliruan yang timbul susulan perkongsiannya sebelum ini.
“Apa yang saya kata dalam podcast itu tidak benar dan menarik semula semua kenyataan seperti salah laku yang berlaku di dalam penjara.
“Saya harap isu ini tidak akan berpanjangan lagi selepas ini,” katanya.
Terdahulu, Pengarah Kanan Dasar Kepenjaraan Jabatan Penjara, Mohamad Rosidek Musa menafikan dakwaan bahawa kehidupan dalam penjara bergantung kepada wang dan pengaruh.
Beliau berkata, Jabatan Penjara mempunyai SOP bagi menangani salah laku dan perkara negatif, selain prosedur berkenaan sentiasa diperketat serta dikaji dari semasa ke semasa.
Sebelum ini, Yasin menerusi beberapa temu bual podcast mendakwa antaranya wujud hierarki dalam kalangan banduan serta dadah boleh dibawa masuk sekiranya seseorang mempunyai wang dan pengaruh.
Perkongsian berkenaan mendapat perhatian ramai sebelum Jabatan Penjara tampil memberikan penjelasan.
Yasin sebelum ini menjalani rawatan di Hospital Bahagia Ulu Kinta selepas melalui proses perundangan berkaitan kes dadah yang dihadapinya. – Instagram
