SHANGHAI – Pendidikan dan Latihan Teknikal Vokasional (TVET) bakal menjadi antara pemacu utama Malaysia dalam membentuk tenaga kerja berkemahiran tinggi bagi menyokong peralihan negara kepada ekonomi bernilai tinggi.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pendekatan itu penting bagi memastikan tenaga kerja tempatan seiring dengan perkembangan pesat industri seperti semikonduktor, kecerdasan buatan (AI), teknologi hijau dan agromakanan.
Beliau berkata, pembaharuan TVET 2.0 akan memberi penekanan kepada hubungan lebih rapat antara institusi latihan dan pemain industri, selain memperluas pendedahan kepada bidang teknologi yang sedang berkembang.
“Syarikat mengetahui peralatan yang digunakan dan sejauh mana keperluan mereka berubah dengan cepat. Mereka perlu menjadi rakan kongsi dalam membentuk bakat dan memastikan mereka sentiasa berada di hadapan,” katanya ketika menyampaikan ucaptama pada sesi pleno Persidangan WorldSkills 2026 di Pusat Pameran dan Konvensyen Kebangsaan (NECC), di sini hari ini.
Menurut Anwar, keperluan terhadap tenaga teknikal akan terus meningkat walaupun teknologi semakin maju kerana kepakaran manusia masih diperlukan untuk mengendalikan, menyelenggara dan menyelesaikan masalah dalam sistem berteknologi tinggi.
“Ekonomi moden tidak dapat berfungsi tanpa tenaga teknikal yang memastikan barisan pengeluaran semikonduktor terus beroperasi atau kilang kenderaan elektrik menepati jadual,” jelas beliau.
Malaysia, tambah beliau, menyasarkan untuk menarik pelaburan semikonduktor berjumlah RM500 bilion serta melatih atau meningkatkan kemahiran 60,000 jurutera tempatan berkemahiran tinggi menjelang 2030 menerusi Strategi Semikonduktor Nasional.
Beliau berkata sasaran berkenaan memerlukan sistem TVET negara bergerak seiring dengan keperluan industri dan perubahan teknologi.
Agenda TVET nasional kini diselaraskan menerusi Majlis TVET Negara yang melibatkan kira-kira 1,400 institusi di bawah 12 kementerian, kerajaan negeri dan penyedia latihan swasta berteraskan Dasar TVET Negara 2030.
Anwar turut menggalakkan peluasan kerjasama Malaysia-China dalam bidang berkenaan, termasuk pertukaran pelajar dan tenaga pengajar, program latihan bersama serta perkongsian teknologi dan kepakaran.
“Inisiatif Latihan TVET Belia Malaysia-China telah mempamerkan hasil yang boleh dicapai melalui kerjasama antara institusi kita. Saya percaya TVET boleh menjadi antara teras hubungan yang lebih luas antara Malaysia dan China,” ujarnya.
Beliau turut melihat perubahan Shanghai daripada pusat industri tekstil kepada hab semikonduktor dan AI sebagai gambaran kepentingan membangunkan kemahiran baharu seiring perubahan struktur ekonomi.
“Setiap industri baharu perlu dipelajari sebelum ia dapat dibangunkan. Malaysia turut mempunyai pandangan yang sama,” katanya.
– KOSMO!
