Rabu | 23/09/2026 | 3:00:51 pm
HomeGaya HidupSanggup beratur sejak 3 pagi, 'ARMY' serbu Maybank buru kad debit BTS...

Sanggup beratur sejak 3 pagi, ‘ARMY’ serbu Maybank buru kad debit BTS edisi terhad

KUALA LUMPUR – Demam BTS kembali mencetuskan fenomena apabila peminat kumpulan K-pop itu sanggup bangun seawal pagi dan beratur berjam-jam di beberapa cawangan Maybank semata-mata mahu mendapatkan kad debit edisi terhad BTS WORLD TOUR ‘ARIRANG’.

Tinjauan menerusi perkongsian pengguna di Threads pada Rabu mendapati barisan panjang mula terbentuk di beberapa cawangan terpilih, termasuk Shah Alam, Mid Valley, Kuantan dan Kuching.

Malah, ada peminat mendakwa sudah berada di lokasi sejak sekitar pukul 3 hingga 4.30 pagi, beberapa jam sebelum operasi bank bermula.

“Power akak ni beratur since 3am utk card BTS,” tulis seorang pengguna Threads, @irfanothman, ketika berkongsi situasi di sebuah cawangan.

Seorang lagi peminat, @diahhbahri, berkata kumpulannya antara tujuh individu terawal yang tiba kira-kira pukul 4.30 pagi sebelum sempat mendapatkan kad berkenaan.

“Kita orang tujuh orang pertama beratur dari pukul 4.30 pagi, tak kenal pun tapi borak macam dah lama kenal,” katanya.

Situasi sama turut dikongsikan @artiycqah yang mendakwa perlu menunggu sehingga 11 jam sebelum berjaya memperoleh kad berkenaan.

“After 11 hours queue… I got my card BTS,” tulisnya.

Seorang pengguna lain, @adek_alyaaaa pula berkata dia mula beratur sekitar pukul 7.30 pagi di sebuah cawangan di Kuantan sebelum berjaya mendapatkan kad tersebut.

Perkongsian lain menunjukkan ada pelanggan menerima nombor giliran yang tinggi, termasuk nombor melebihi 6,000, selain beberapa pengguna memaklumkan stok bagi hari pertama sudah habis di cawangan tertentu.

Sambutan luar biasa itu dipercayai didorong jumlah pengeluaran yang terhad. Menurut Maybank, kad Maybank Visa | BTS WORLD TOUR ‘ARIRANG’ Debit Card mula ditawarkan pada 23 September di 12 cawangan terpilih di seluruh negara dengan maksimum hanya 60 kad bagi setiap cawangan sehari, tertakluk kepada ketersediaan dan konsep siapa cepat dia dapat. 

Antara lokasi terlibat ialah Bukit Bintang, Mid Valley City, Cawangan Utama Kuala Lumpur, Dataran Maybank, Petaling Jaya, Shah Alam, Pulau Pinang, Ipoh, Kuantan, Johor Bahru, Karamunsing dan Kuching. 

Bagaimanapun, pemegang kad debit Maybank sedia ada yang tidak mahu beratur boleh memohon penukaran kad menerusi Maybank2u mulai 28 September, dengan bayaran penggantian RM12 dikenakan dan permohonan masih tertakluk kepada ketersediaan stok. 

Tarikan kad edisi terhad itu bukan sekadar pada reka bentuk bertemakan BTS. Pemegang kad turut berpeluang menyertai kempen untuk memenangi sepasang tiket BTS WORLD TOUR ‘ARIRANG’ di Kuala Lumpur, manakala permohonan kad yang berjaya memberikan satu penyertaan automatik.  – Threads

RELATED ARTICLES
- Iklan -

Most Popular

Rabu, 23 September 2026 | --:--:-- pagi
CARI DI MYBERITA
|