SHANGHAI – Malaysia mahu memanfaatkan hubungan dagang kukuh dengan China untuk menarik lebih banyak pelaburan dalam sektor teknologi, kecerdasan buatan (AI) dan ekonomi digital menerusi lawatan kerja tiga hari Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Shanghai dan Hangzhou.
Lawatan atas jemputan kerajaan China itu membawa agenda lebih luas daripada hubungan diplomatik tradisional dengan tumpuan diberikan kepada perdagangan, pelaburan, pembangunan bakat teknikal, ekonomi digital serta teknologi baharu termasuk AI.
Duta Besar Malaysia ke China, Datuk Norman Muhamad sebelum ini berkata kekerapan lawatan Anwar mencerminkan hubungan rapat antara kedua-dua negara.
“Ini adalah lawatan Perdana Menteri yang keempat ke China sekali gus menunjukkan betapa akrab dan rapatnya hubungan antara Malaysia dengan China,” katanya.
Kemuncak lawatan dijadual berlangsung Khamis apabila Anwar mengadakan pertemuan dua hala peringkat tinggi dengan Perdana Menteri China, Li Qiang di Hangzhou, wilayah Zhejiang.
Anwar yang juga Menteri Kewangan turut dijadual bertemu pemimpin industri serta firma teknologi utama China menerusi sesi meja bulat dan pertemuan bersemuka dalam usaha menarik pelaburan langsung asing ke Malaysia.
Di Shanghai, beliau akan menghadiri WorldSkills Shanghai 2026 di Pusat Pameran dan Konvensyen Kebangsaan (NECC), selain menyampaikan ucaptama pada sesi pleno Persidangan WorldSkills 2026.
Agenda kemudian beralih ke Hangzhou apabila Perdana Menteri menghadiri Ekspo Perdagangan Digital Global Kelima yang berlangsung dari 23 hingga 27 September.
Malaysia bersama Hungary diberi penghormatan sebagai Negara Tamu Kehormat pada ekspo berkenaan yang memberi tumpuan antaranya kepada AI, perdagangan digital dan kerjasama global. Anwar turut dijadual menyampaikan ucaptama pada acara itu.
Lawatan berkenaan berlangsung ketika China kekal sebagai rakan dagang terbesar Malaysia untuk tahun ke-17 berturut-turut.
Bagi tempoh Januari hingga Ogos tahun ini sahaja, nilai perdagangan dua hala mencecah AS$113.82 bilion atau kira-kira RM456.68 bilion.
Anwar diiringi Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani serta Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Ketibaan beliau di Shanghai disambut Duta Besar Malaysia ke China, Datuk Norman Muhamad; Konsul Jeneral Malaysia di Shanghai, Abdullah Ma’amor Ibrahim serta Timbalan Datuk Bandar Shanghai, Wang Huajie.
Turut hadir Duta Besar China ke Malaysia, Ouyang Yujing dan anggota Kumpulan Kepimpinan Parti bagi Pejabat Hal Ehwal Luar Perbandaran Shanghai, Su Lin. – BERNAMA
