HANGZHOU – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membidas tindakan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim bersama barisan EXCO negeri yang memutuskan penurunan takhta Yang di-Pertuan Besar, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.
Beliau menyifatkan tindakan itu sebagai biadab dan tidak bertamadun kerana pentadbiran negeri tidak mempunyai kuasa untuk sewenang-wenangnya mempertikaikan kedudukan Raja.
“Menteri Besar dan EXCO yang membuat keputusan, ini langkah biadab, tidak ada tamadun dan saya bantah keras. Sejak bila mereka ada mandat nak pertikai kedudukan Raja?” kata Anwar.
Beliau berkata demikian kepada media ketika berada dalam kereta api laju dari Shanghai menuju Hangzhou, hari ini.
Mengulas kemelut pentadbiran dan adat yang semakin meruncing di Negeri Sembilan, Anwar menegaskan Kerajaan Persekutuan tidak berniat mencampuri urusan berkenaan.
Namun, katanya, kerajaan tetap bertanggungjawab memelihara keselamatan negara, kestabilan institusi diraja dan keluhuran perlembagaan.
“Saya hormati Undang, sebahagiannya saya kenal baik. Tapi dia kena faham, kita tak campur. Kita kena jaga negara. Keselamatan negara dan institusi, itu tanggungjawab kita,” kata Anwar.
Menurut beliau, keputusan menghadap Tuanku Muhriz baru-baru ini dibuat berdasarkan keputusan mahkamah yang mengiktiraf baginda sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan yang sah.
Anwar berkata, walaupun kuasa menurunkan takhta Yang di-Pertuan Besar tertakluk kepada Undang Luak, sebarang keputusan yang dibuat bukan bersifat mutlak dan perlu mematuhi proses serta peraturan ditetapkan.
“Sekarang kita dengar kedua-dua pihak. Ada satu pihak mendakwa mereka Undang, manakala pihak lain berpandangan sebaliknya. Jadi saya kata, putuskan dahulu,” kata Anwar.
Beliau menjelaskan perkara itu berada di luar bidang kuasanya sekiranya semua Undang yang sah dilantik telah mengikuti proses dan peraturan sebelum membuat keputusan.
Ismail sebelum ini mengesahkan proklamasi penurunan takhta Tuanku Muhriz diputuskan dan disahkan secara sebulat suara oleh barisan EXCO Negeri Sembilan.
