Jumaat, 7 Ogos 2026
IKLAN PTPTN

Cabutan Prime Bonanza

Simpan SSPN Prime & rebut hadiah menarik.

Sertai →
TerkiniTiga anggota polis maut ketika bantu rakan terkena renjatan elektrik

Tiga anggota polis maut ketika bantu rakan terkena renjatan elektrik

BEAUFORT – Tindakan spontan dua anggota polis untuk menyelamatkan rakan mereka yang terkena renjatan elektrik berakhir dengan tragedi apabila ketiga-tiganya maut dalam kejadian di Jalan Weston, Kampung Weston, di sini, petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.50 petang itu, mangsa dipercayai sedang mengambil buah kelapa menggunakan galah besi sebelum alat berkenaan terkena kabel elektrik yang berada di atas.

Mangsa yang terkorban ialah anggota Balai Polis Weston, Koperal Chiu Teck Siong, 40, Konstabel Mohamad Nur Hafiz Ibrahim, 29, dan Konstabel Muhammad Raimi Ismarubee, 26.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, siasatan awal mendapati kejadian berlaku ketika salah seorang anggota menggunakan galah besi yang panjang untuk menjolok buah kelapa.

“Ketika menggunakan galah besi yang panjang, alat itu dipercayai hilang keseimbangan lalu terkena kabel elektrik.

“Dua lagi anggota cuba membantu rakannya, namun turut terkena renjatan elektrik,” katanya.

Beliau berkata, ketiga-tiga mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian sebelum mayat mereka dihantar ke Hospital Beaufort untuk tindakan lanjut.

Menurutnya, polis sudah membuka kertas siasatan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian, manakala bedah siasat akan dijalankan sebelum mayat diserahkan kepada waris.

Sementara itu, Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada jam 5.56 petang.

Susulan itu, tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Beaufort dikerahkan ke lokasi bagi menjalankan operasi menyelamat serta membantu pihak polis menguruskan kejadian.

-Iklan-
ARTIKEL BERKAITAN
-Iklan-