Isnin | 21/09/2026 | 1:16:17 am
HomeNasionalTuanku Muhriz tarik perkenan, batal pelantikan semua Exco Negeri Sembilan

Tuanku Muhriz tarik perkenan, batal pelantikan semua Exco Negeri Sembilan

SEREMBAN – Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir menarik balik perkenan terhadap semua Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco), sekali gus membatalkan pelantikan mereka berkuat kuasa serta-merta selepas didapati memungkiri sumpah jawatan.

RINGKASAN BERITA
  • Pengelola Bijaya Diraja Istana Negeri Sembilan, Datuk Azizi Mohamad Ali berkata, keputusan itu dibuat susulan tindakan dan kenyataan ahli-ahli berkenaan pada 15 September lalu.
  • Menurutnya, kesemua Exco terbabit sebelum ini mengangkat sumpah serta menandatangani ikrar taat setia pada 7 Ogos lalu sebelum dilantik menganggotai Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.
  • Beliau menjelaskan, Perkara XXXVIII(5) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 memperuntukkan bahawa seseorang Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri memegang jawatan selagi mendapat perkenan Yang…
  • Susulan perkembangan itu, Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim perlu mempersembahkan senarai calon Exco baharu untuk pertimbangan dan perkenan Tuanku Muhriz mengikut Perkara XXXVIII(2) Undang-Undang…
Ringkasan automatik berdasarkan laporan MYBERITA.

Pengelola Bijaya Diraja Istana Negeri Sembilan, Datuk Azizi Mohamad Ali berkata, keputusan itu dibuat susulan tindakan dan kenyataan ahli-ahli berkenaan pada 15 September lalu.

Menurutnya, kesemua Exco terbabit sebelum ini mengangkat sumpah serta menandatangani ikrar taat setia pada 7 Ogos lalu sebelum dilantik menganggotai Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.

“Mereka telah berikrar taat setia kepada Duli Yang Maha Mulia dan kepada Institusi Diraja, bersumpah melindungi dan memelihara kedaulatan Perlembagaan Negeri Sembilan, serta mengiktiraf kuasa yang terletak pada Dewan Keadilan dan Undang Negeri Sembilan.

“Mereka telah memungkiri sumpah ini melalui tindakan dan kenyataan mereka pada 15 September. Maka dengan demikian, Duli Yang Maha Mulia telah menarik balik perkenan Baginda dan membatalkan pelantikan mereka sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Sembilan, berkuat kuasa serta-merta,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Azizi berkata, setiap individu terbabit sudah dimaklumkan mengenai pembatalan pelantikan masing-masing menerusi warkah.

Beliau menjelaskan, Perkara XXXVIII(5) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 memperuntukkan bahawa seseorang Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri memegang jawatan selagi mendapat perkenan Yang di-Pertuan Besar.

Susulan perkembangan itu, Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim perlu mempersembahkan senarai calon Exco baharu untuk pertimbangan dan perkenan Tuanku Muhriz mengikut Perkara XXXVIII(2) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.

Menurut kenyataan berkenaan, Tuanku Muhriz turut menjangkakan Menteri Besar memastikan pentadbiran negeri diteruskan tanpa sebarang gangguan atau halangan serta kepentingan rakyat sentiasa terpelihara.

Seramai 10 Exco mengangkat sumpah pada 7 Ogos lalu, antaranya Datuk Mohd Faizal Ramli, Datuk Mustapha Nagoor, Datuk Zaifulbahri Idris, Siow Kong Choon, Siti Nur Umaira Hasim, Datuk Mohd Asna Amin, Datuk Mohd Razi Mohd Ali, Suhaimizan Bizar, Mohd Fairuz Mohd Isa dan Datuk Razali Abu Samah. – BERNAMA

RELATED ARTICLES
- Iklan -

Most Popular

Isnin, 21 September 2026 | --:--:-- pagi
CARI DI MYBERITA
TERKINI
Baru sahaja
|