SEREMBAN – Pembentukan pentadbiran baharu Kerajaan Negeri Sembilan bakal memasuki fasa penting apabila barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) yang baharu dijadual mengangkat sumpah jawatan di Istana Besar Seri Menanti, Kuala Pilah, pagi esok.
Majlis Istiadat Mengangkat Sumpah itu dijangka berlangsung di hadapan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, sekali gus melengkapkan proses pembentukan pentadbiran selepas berakhirnya Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.
Menerusi jemputan yang diedarkan Unit Korporat Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, pengamal media dijemput membuat liputan bermula jam 9.45 pagi.
Istiadat berkenaan turut dijangka dihadiri Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim yang mengangkat sumpah jawatan pada Ahad lalu di Balairung Seri, Istana Besar Seri Menanti.
Terdahulu, Ismail yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Juasseh dilantik sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan kesembilan bagi penggal pertama selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.
Pada PRN Negeri Sembilan Sabtu lalu, beliau berjaya mempertahankan kerusi DUN Juasseh dengan majoriti 4,323 undi selepas menewaskan Mohd Zuhaimi Md Yusof daripada Bersatu dan Mohd Aidil Abdullah daripada PH.
Dalam pilihan raya sama, Barisan Nasional (BN) bersama Perikatan Nasional (PN) berjaya membentuk kerajaan negeri baharu selepas menguasai 25 daripada 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
Keputusan rasmi menyaksikan BN memenangi 18 kerusi DUN manakala PN memperoleh tujuh kerusi, sekali gus memberikan gabungan itu majoriti dua pertiga untuk mentadbir Negeri Sembilan.


