Selasa, 11 Ogos 2026
IKLAN PTPTN

Cabutan Prime Bonanza

Simpan SSPN Prime & rebut hadiah menarik.

Sertai →
NasionalWong Chen umum peletakan jawatan 'MP' Subang berkuat kuasa hari ini

Wong Chen umum peletakan jawatan ‘MP’ Subang berkuat kuasa hari ini

KUALA LUMPUR – Selepas beberapa bulan menjadi perhatian susulan kedudukan politiknya dalam PKR, Wong Chen hari ini mengesahkan beliau melepaskan jawatan sebagai Ahli Parlimen Subang, sekali gus mengosongkan kerusi P.104 berkuat kuasa jam 5 petang.

Wong Chen berkata, keputusan itu telah dimaklumkan secara rasmi kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul, menerusi surat yang diserahkan pada 5 Ogos lalu.

Menurutnya, tempoh beberapa hari diberikan sebelum peletakan jawatan berkuat kuasa bagi membolehkan pegawai Parlimen membuat persiapan berhubung kekosongan kerusi berkenaan.

“Pada 5 Ogos, saya bertemu dengan Yang Dipertua Dewan Rakyat dan menyerahkan surat peletakan jawatan saya sebagai Ahli Parlimen, berkuat kuasa 10 Ogos pada pukul 5 petang.

“Ini bagi memberi pegawai Parlimen tempoh tiga hari bekerja untuk membuat persediaan bagi kekosongan kerusi Parlimen Subang,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Dalam surat yang dikongsikan, Wong Chen menyatakan peletakan jawatan itu dibuat secara sukarela dan beliau secara rasmi mengosongkan kerusi P.104 Subang.

Beliau turut memaklumkan gelaran kehormat ‘Yang Berhormat’ akan dikeluarkan daripada papan iklan, papan tanda serta urusan surat-menyurat berkaitan dirinya selewat-lewatnya bulan depan.

“Kami juga akan mengeluarkan gelaran Yang Berhormat daripada semua papan iklan, papan tanda dan surat-menyurat menjelang bulan depan,” katanya.

Perkembangan itu hadir ketika kedudukan Wong Chen dalam PKR sebelum ini menjadi perhatian, khususnya selepas beliau menghadiri program politik yang dikaitkan dengan bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli.

Pada Jun lalu, Wong Chen mendedahkan beliau menerima surat tunjuk sebab daripada Lembaga Disiplin PKR berhubung kehadirannya dalam program berkenaan.

Beliau ketika itu mencabar kepimpinan PKR supaya memecatnya sekiranya mempunyai alasan berbuat demikian, namun pada masa sama menegaskan beliau tidak perlu meletakkan jawatan sebagai Ahli Parlimen Subang.

Sebelum ini, Wong Chen juga memberi bayangan bahawa beliau sedang menilai hala tuju politiknya termasuk kemungkinan meninggalkan PKR, dengan mengambil kira pandangan penduduk Subang dan keluarganya.

Dalam perkembangan berkaitan, Wong Chen dijadual mengadakan sidang media pada Rabu ini, jam 11 pagi, yang dijangka memberi penjelasan lanjut mengenai keputusan berkenaan.

Peletakan jawatan itu turut menjadikan PKR kehilangan kerusi Parlimen ketiganya dalam tempoh kurang empat bulan.

-Iklan-
ARTIKEL BERKAITAN
-Iklan-