SHAH ALAM – Aliran trafik di Lebuh Raya Shah Alam (KESAS) arah barat dilaporkan perlahan selepas sebuah lori terbalik sehingga menghalang dua lorong di Kilometer (KM) 29.6, antara Hicom dan Bukit Rimau, tengah hari ini.
Kejadian itu menyebabkan lorong kiri dan tengah tidak dapat digunakan, sekali gus mengehadkan laluan pengguna yang melalui kawasan berkenaan.
Menurut makluman Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) pada 12.08 tengah hari, insiden berkenaan berlaku di laluan Hicom-Bukit Rimau menghala barat.
“Lorong kiri dan tengah terhalang. Trafik perlahan.
“Awasi sebarang halangan di hadapan. Berhati-hati memandu,” menurut makluman itu.
Rakaman yang tular di media sosial turut memaparkan sebuah lori dalam keadaan mengiring di atas lebuh raya, berhampiran susur keluar Lebuhraya Kemuning-Shah Alam (LKSA).
Kenderaan berat berkenaan dilihat merentangi sebahagian laluan, menyebabkan pengguna jalan raya terpaksa memperlahankan kenderaan dan menggunakan lorong yang masih boleh dilalui.
Setakat ini, tiada maklumat rasmi berhubung punca lori berkenaan terbalik termasuk keadaan pemandunya.

