Rabu | 30/09/2026 | 9:29:50 pm
HomeBelasungkawa40 jam bertugas, Dr Iskandar jaga Tun Mahathir selepas CPR Tun Hasmah

40 jam bertugas, Dr Iskandar jaga Tun Mahathir selepas CPR Tun Hasmah

KUALA LUMPUR – Selepas melakukan bantuan pernafasan kecemasan terhadap Allahyarham Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali, seorang doktor Institut Jantung Negara (IJN) ditugaskan pula berada di sisi Tun Dr Mahathir Mohamad sepanjang urusan pengebumian isterinya.

Felo Klinikal Kardiologi dan Pakar Perubatan Dalaman IJN, Dr Iskandar Mirza Amran, 40, berkata, beliau antara petugas yang dipanggil ketika berlaku kecemasan membabitkan Allahyarham Tun Dr Siti Hasmah pada awal pagi Isnin lalu.

“Pada Ahad lalu, saya bertugas bagi syif 24 jam. Pada pagi semalam, kami dimaklumkan ada kod biru iaitu kecemasan membabitkan Dr Hasmah.

“Saya antara individu yang dipanggil untuk melakukan bantuan pernafasan kecemasan atau Cardiopulmonary Resuscitation (CPR) terhadap Dr Hasmah sebelum beliau disahkan meninggal dunia,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurut Dr Iskandar, pasukan IJN yang terdiri daripada tujuh petugas ditugaskan merawat serta memantau kesihatan Tun Dr Mahathir dan Allahyarham Tun Dr Siti Hasmah.

Pasukan berkenaan diketuai Datuk Dr Amin Ariff Nuruddin bersama Datuk Dr Ahmad Khairuddin Mohamed Yusof, Datuk Dr Ghazali Ahmad, Dr Hafidz Abd Hadi, Dr Hisham Md Sharom, Dr Afif Ashaari serta beliau.

Selepas Allahyarham disahkan meninggal dunia, Dr Iskandar kemudian ditugaskan menjaga Tun Dr Mahathir sepanjang urusan pengebumian kerana beberapa doktor lain dalam pasukan berkenaan mempunyai prosedur penting pada hari tersebut.

Katanya, Tun Dr Mahathir berada dalam keadaan sangat sedih dan tidak banyak bercakap sepanjang tempoh berkenaan.

“Saya lihat Dr Mahathir memang sedih. Beliau tidak banyak bercakap dan hanya menangis sepanjang masa.

“Saya ada bertanya keadaannya untuk periksa sama ada beliau ada mengalami sesak nafas atau sakit dada dan dimaklumkan Dr Mahathir tidak alami simptom berkenaan,” katanya.

Dalam pada itu, Dr Iskandar berkata, beliau tidak menyangka gambar bersama dua lagi petugas kesihatan ketika menemani Tun Dr Mahathir tular di media sosial.

Menurutnya, perkongsian itu turut menyebabkan ramai orang menghubunginya bagi menyampaikan ucapan terima kasih kerana menjaga bekas Perdana Menteri tersebut.

“Ramai pihak menghubungi saya mengucapkan terima kasih kerana menjaga Tun Mahathir. Saya rasa gembira apabila kehadiran kami mengubah persepsi negatif terhadap doktor.
“Apabila menerima ucapan terima kasih serta penghargaan daripada orang ramai, saya rasa penat lelah bertugas kira-kira 40 jam semalam amat berbaloi,” katanya. – MYBERITA

RELATED ARTICLES
- Iklan -

Most Popular

Rabu, 30 September 2026 | --:--:-- pagi
CARI DI MYBERITA
|