MENLO PARK – Bukan sekadar aksesori comel yang boleh digantung pada beg atau rantai kunci, peranti baharu Meta, Muse, sebenarnya merupakan pembantu kecerdasan buatan (AI) yang mampu berbual secara langsung, membalas e-mel malah membantu pengguna membeli barangan dapur.
Ketua Pegawai Eksekutif Meta, Mark Zuckerberg memperkenalkan peranti kecil itu pada acara Meta Connect minggu ini, dengan rekaannya yang menampilkan avatar comel pada skrin sehingga mencetuskan perbandingan dengan permainan digital popular era 1990-an, Tamagotchi.
“Kami memasukkan banyak teknologi ke dalam si kecil ini,” kata Zuckerberg ketika memperkenalkan Muse kepada hadirin di San Francisco.
Berbeza daripada aksesori koleksi seperti Labubu, Muse mempunyai fungsi jauh lebih luas sebagai pembantu AI interaktif yang boleh melakukan perbualan secara langsung dengan pemiliknya.
Selain membalas e-mel, peranti itu dikatakan boleh membantu membuat tempahan perjalanan serta mengurus pembelian barangan dapur mingguan, sekali gus membawa konsep pembantu AI peribadi ke dalam peranti boleh pakai bersaiz kecil.
Muse dilengkapi skrin kecil kira-kira dua inci yang memaparkan watak animasi dan direka supaya pengguna cenderung melihatnya sebagai ‘teman’ berbanding sekadar sebuah peranti elektronik.
Profesor Madya Universiti Cambridge, Katie Seaborn yang menjalankan penyelidikan mengenai elemen ‘comel’ dalam teknologi berkata reka bentuk Muse mempunyai ciri menyerupai bayi, faktor yang secara semula jadi boleh menarik perhatian manusia.
Menurutnya, penggunaan elemen comel dalam reka bentuk teknologi juga boleh dianggap sebagai strategi kerana ia berupaya menjadikan sesuatu produk kelihatan kurang mengancam dan lebih mudah dipercayai pengguna.
Beliau menyifatkan kesannya sebagai “charming and disarming”, apabila penampilan comel berpotensi menyebabkan seseorang secara tidak sedar menjadi kurang berwaspada terhadap sesuatu teknologi.
Sementara itu, Profesor Joshua Paul Dale dari Chuo University, Tokyo berkata pendekatan Meta itu dilihat sebagai usaha menjadikan Muse sebagai teman AI peribadi.
Katanya, skrin kecil dengan watak ringkas mendorong pengguna memberikan sifat manusia kepada avatar berkenaan walaupun mereka sedar ia hanyalah teknologi.
Kemunculan Muse juga hadir ketika aksesori comel semakin mendapat tempat dalam budaya popular, khususnya dalam kalangan generasi muda yang sudah terbiasa menggantung karakter seperti Labubu pada beg mereka.
Bagi generasi lebih berusia pula, reka bentuk Muse mungkin membangkitkan nostalgia terhadap permainan haiwan peliharaan digital seperti Tamagotchi yang pernah menjadi fenomena global.
Bagaimanapun, penerimaan terhadap pembantu AI sedemikian dijangka berbeza mengikut generasi dan budaya, terutama membabitkan persoalan kepercayaan, privasi serta sejauh mana pengguna selesa membawa peranti pintar bersama mereka sepanjang masa.
Muse dijadualkan berada di pasaran pada Disember, namun sejauh mana pendekatan Meta menggabungkan teknologi AI dengan reka bentuk comel mampu memikat pengguna masih belum dapat dipastikan. – The Guardian
