MANCHESTER – Penyokong Manchester United kini boleh membawa pulang sebahagian daripada sejarah Old Trafford apabila kelab itu menjual potongan rumput padang ikonik berkenaan pada harga £125 (kira-kira RM700) setiap satu.
Cenderamata dikenali sebagai Old Trafford Turf Cube itu mengandungi rumput sebenar daripada padang lama Old Trafford yang diawet sebelum ditempatkan di dalam kiub akrilik untuk dijadikan koleksi penyokong.
Langkah berkenaan menarik perhatian selepas United mengumumkan keputusan kewangan bagi tahun fiskal 2026, dengan kelab merekodkan pendapatan tertinggi sebanyak £677.6 juta, namun masih mencatat kerugian sebelum cukai sekitar £43 juta.
Rumput berkenaan diperoleh selepas permukaan padang Old Trafford digali sepenuhnya sehingga ke bahagian asas pada Jun lalu, kali pertama kerja sedemikian dilakukan dalam tempoh 14 tahun.
Menurut kelab, kerja itu dilakukan bagi menanam semula permukaan padang selain meningkatkan sistem saliran dan kebajikan pemain.
Sebahagian rumput lama kemudian disimpan dan diawet untuk dijadikan cenderamata kepada penyokong.
“Bawa pulang sebahagian daripada Old Trafford dengan kiub rumput rasmi ini, sesuai untuk penyokong yang mahukan kenang-kenangan daripada salah sebuah padang paling terkenal di dunia,” menurut keterangan produk di laman rasmi kelab.
Kelab itu menyifatkan rumput berkenaan sebagai kenang-kenangan daripada pelbagai perlawanan ikonik yang pernah berlangsung di gelanggang yang menjadi rumah Manchester United sejak 1910.
Kiub berkenaan berukuran kira-kira 7×7 sentimeter dan ditawarkan pada harga £125 menerusi kedai rasmi Manchester United. Laporan turut menyebut kumpulan pertama produk berkenaan sudah habis dijual.
Ini bukan kali pertama Manchester United menjadikan rumput Old Trafford sebagai barangan koleksi. Pada 1999, kelab itu pernah menawarkan pemberat kertas edisi terhad mengandungi rumput daripada padang berkenaan.
Bagaimanapun, penjualan terbaharu itu mendapat perhatian lebih meluas kerana diumumkan ketika kedudukan kewangan kelab terus menjadi tumpuan meskipun Manchester United berjaya mencatat rekod pendapatan bagi musim 2025/26. – AGENSI
