Ahad | 27/09/2026 | 3:55:08 pm
HomeNasionalEmpat kawasan Johor catat IPU tidak sihat, Kota Tinggi paling tinggi

Empat kawasan Johor catat IPU tidak sihat, Kota Tinggi paling tinggi

KUALA LUMPUR – Johor kini menjadi negeri paling terjejas dengan kemerosotan kualiti udara apabila empat kawasan mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada tahap tidak sihat setakat jam 9 pagi, hari ini.

Kota Tinggi merekodkan bacaan IPU tertinggi negara iaitu 165, diikuti Pasir Gudang (163), Pengerang (162) dan Larkin (156).

Berdasarkan data Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS), dua lagi kawasan yang berada dalam kategori tidak sihat ialah Serian, Sarawak dengan bacaan 152 dan Sri Aman (128).

Perkembangan itu menyaksikan enam kawasan di seluruh negara mencatatkan kualiti udara tidak sihat pada pagi ini, manakala 52 kawasan berada pada tahap sederhana.

Sembilan kawasan lain pula masih menikmati kualiti udara pada tahap baik.

Keadaan di Johor menunjukkan peningkatan bacaan berbanding jam 10 malam tadi apabila Pasir Gudang merekodkan IPU 154, Kota Tinggi (153), Pengerang (152) dan Larkin (129).

Mengikut klasifikasi IPU, bacaan antara 0 hingga 50 dikategorikan sebagai baik, 51 hingga 100 sederhana dan 101 hingga 200 tidak sihat.

Bacaan antara 201 hingga 300 pula dikategorikan sebagai sangat tidak sihat, manakala bacaan melebihi 300 berada pada tahap berbahaya.

Orang ramai khususnya di kawasan yang merekodkan bacaan tidak sihat disaran memantau perkembangan kualiti udara dari semasa ke semasa. – MYBERITA

RELATED ARTICLES
- Iklan -

Most Popular

Ahad, 27 September 2026 | --:--:-- pagi
CARI DI MYBERITA
|