NAGOYA – “Ini bukan pengakhiran.”
Itu luahan jaguh pecut negara, Muhammad Azeem Mohd Fahmi yang enggan membiarkan kecederaan ketika final 100 meter (m) lelaki Sukan Asia mematahkan semangatnya untuk terus membawa cabaran Malaysia.
Azeem menerusi hantaran di Instagram Story mengakui kecederaan merupakan antara perkara paling ditakuti setiap atlet, lebih-lebih lagi selepas melalui persiapan panjang dan melakukan segala yang termampu untuk berada pada tahap terbaik.
“Perkara berlaku dengan sebab tertentu. Itulah satu perkara yang saya sentiasa pegang.
“Perkara paling menakutkan dalam sukan ini ialah kecederaan dan saya percaya tiada atlet yang mahu melaluinya. Saya sudah melakukan segala yang termampu untuk memastikan saya sampai ke tahap yang saya mahukan, tetapi Tuhan mempunyai perancangan yang lebih baik,” katanya.
Pelari berusia 22 tahun itu turut menggambarkan betapa panjang perjalanan yang dilaluinya musim ini apabila sudah beraksi sejak Januari, selain mengharungi pelbagai perlumbaan, latihan, ulangan dan beberapa cabaran.
“Musim yang panjang, saya sudah berlari sejak Januari, melalui banyak perlumbaan, cabaran, latihan dan banyak lagi. Tetapi ini bukan pengakhiran,” katanya.
Azeem mengalami kecederaan ketika beraksi dalam final 100m lelaki sehingga terpaksa menghentikan lariannya, sekali gus terlepas peluang memperbaiki pencapaian pingat gangsa yang diraihnya pada Sukan Asia Hangzhou 2022.
Selepas perlumbaan, dia menerima perhatian pasukan perubatan dan Institut Sukan Negara (ISN), sebelum memaklumkan pemeriksaan lanjut akan dilakukan bagi mengetahui tahap sebenar kecederaan dialaminya.
“Terima kasih banyak kepada pasukan saya, ISN dan semua yang datang mendapatkan saya sebaik sahaja perlumbaan berakhir.
“Saya akan menjalani pemeriksaan lanjut dan berharap ia bukan sesuatu yang serius supaya saya dapat terus mewakili Malaysia pada temasya ini,” katanya.
Perkembangan itu penting buat kem olahraga negara memandangkan Azeem turut menjadi antara tonggak skuad 4x100m lelaki Malaysia.
Dalam masa sama, Azeem turut menitipkan penghargaan kepada mereka yang terus memberikan sokongan kepadanya, selain mempunyai mesej ringkas kepada pihak yang masih meragui kemampuannya.
“Kepada mereka yang terus menyokong saya sehingga hari ini, saya sayang anda.
“Kepada mereka yang masih meragui saya, terima kasih,” katanya. – MYBERITA
