NAGOYA – Penantian panjang selama 36 tahun akhirnya berakhir apabila skuad sepak takraw lelaki negara menumbangkan seteru tradisi, Thailand 2-0 untuk merangkul pingat emas acara regu berpasukan lelaki Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026, hari ini.
Kejayaan di Nagoya City Mizuho Park Gymnasium itu mengembalikan Malaysia ke puncak podium acara berkenaan buat kali pertama sejak Sukan Asia Beijing 1990.
Regu utama negara yang dibarisi Mohammad Syahir Mohd Rosdi selaku tekong bersama Mohamad Azlan Alias dan Farhan Adam terlebih dahulu berdepan tentangan sengit Thailand dalam perlawanan pembukaan.
Malaysia memulakan aksi dengan kemenangan 15-9 pada set pertama sebelum Thailand yang menampilkan Pornthep Tinbangbon, Phutawan Sopa dan Marukin Phanmakon bangkit mendominasi set kedua 15-5.
Namun, regu negara tidak membiarkan momentum lawan berterusan apabila kembali menguasai set penentuan dengan mendahului 8-3 sebelum melebarkan jurang kepada 14-8.
Thailand cuba mengejar pada penghujung permainan, namun Syahir, Azlan dan Farhan kekal tenang untuk menutup set berkenaan 15-11, sekali gus menghadiahkan mata pertama kepada Malaysia.
Kemenangan regu pertama itu kemudian menyuntik semangat kepada gandingan Muhammad Zulkifli Abd Razak, Muhammad Afifuddin Mohd Razali dan Aidil Aiman Azwawi yang turun dengan peluang untuk menamatkan terus pertarungan.
Berhadapan Kritsanapong Nontakote, Tanaphon Sapyen dan Wuttinun Kamsanor, trio negara tidak memberi ruang mudah kepada Thailand apabila memenangi set pertama 15-13.
Malaysia kemudian terus mengawal permainan dalam set kedua sebelum kemenangan 15-10 mengesahkan keputusan keseluruhan 2-0 dan pingat emas buat negara.
“Emas ini menamatkan penantian 36 tahun Malaysia dalam acara regu berpasukan lelaki Sukan Asia selepas kali terakhir menjuarainya pada edisi Beijing 1990.”
Kejayaan tersebut melengkapkan perjalanan cemerlang skuad negara di Nagoya selepas Malaysia muncul juara Kumpulan B sebelum menewaskan Indonesia 2-1 pada separuh akhir untuk mara ke perlawanan akhir.
Lebih manis, kemenangan di Nagoya meneruskan siri keputusan positif Malaysia ketika berdepan Thailand dalam beberapa kejohanan utama kebelakangan ini, sekali gus memberikan satu lagi pencapaian besar kepada sepak takraw negara. – MYBERITA
