AYER KEROH – Bekas Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Rais Yatim mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan menyebut perkataan yang didakwa menghasut berkaitan institusi diraja Negeri Sembilan pada Jun lalu.
Rais, 84, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Raja Noor Adilla Raja Mahyaldin.
Mengikut pertuduhan, Rais yang juga Pengerusi Parti Wawasan Negara didakwa menyebut perkataan menghasut ketika berada di sebuah hotel di Simpang Ampat, Alor Gajah, kira-kira pukul 1 petang pada 5 Jun lalu.
Kenyataan yang menjadi asas pertuduhan itu antaranya berkaitan doa kesejahteraan kepada Tunku Nadzaruddin Tuanku Ja’afar sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan ke-12, selain menyeru supaya taat setia ditumpukan kepada baginda berdasarkan undang-undang dan adat Negeri Sembilan.
Rais didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama.
Jika sabit kesalahan, beliau boleh dikenakan denda maksimum RM5,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Shahrizat Ismail, Nor Azizah Aling dan Nadia Mohd Izhar yang mencadangkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin.
Rais pula diwakili lima peguam diketuai anaknya, Danni Rais bersama Sheela Menon, Mohd Khairul Azam Abdul Aziz, Ahmad Soleh Yusof dan Syahmi Aiman Mohamed Nasir.
Danni memohon jumlah jaminan dikurangkan dengan mengambil kira kerjasama yang diberikan bapanya sepanjang proses berkenaan.
Menurut pembelaan, Rais hanya dimaklumkan mengenai pertuduhan kira-kira pukul 10.30 malam tadi sebelum bergerak dari Kuala Lumpur ke Melaka pada pagi ini untuk menghadiri prosiding.
Selepas mendengar hujah kedua-dua pihak, mahkamah membenarkan Rais diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin.
Mahkamah kemudian menetapkan 27 Oktober depan untuk sebutan semula kes. – MYBERITA
