Jumaat | 25/09/2026 | 10:20:52 am
HomeDuniaMalaysia kekal dipercayai dalam CMAG, Mohamad Hasan bincang hala tuju Komanwel

Malaysia kekal dipercayai dalam CMAG, Mohamad Hasan bincang hala tuju Komanwel

NEW YORK – Kedudukan Malaysia sebagai anggota Kumpulan Tindakan Menteri Komanwel (CMAG) sejak 2018 terus menjadi antara peranan penting negara dalam mempertahankan nilai dan prinsip Komanwel, ketika dunia berdepan pelbagai cabaran termasuk isu demokrasi, kedaulatan undang-undang dan hak asasi manusia.

Perkara itu antara yang dibincangkan Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan bersama Setiausaha Agung Komanwel, Shirley Botchwey dalam pertemuan di luar sesi Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu ke-81 (UNGA 81), di sini.

Pertemuan berkenaan turut memberi tumpuan kepada hala tuju Komanwel dalam menangani cabaran global semasa serta persiapan menjelang Mesyuarat Ketua-Ketua Kerajaan Komanwel ke-28 (CHOGM 2026) di Antigua dan Barbuda pada 1 hingga 4 November depan.

“Dalam hal ini, Malaysia terus diberikan kepercayaan sebagai ahli Kumpulan Tindakan Menteri Komanwel (CMAG) untuk mempertahankan nilai dan prinsip Komanwel.

“Malaysia menjadi ahli CMAG sejak 2018,” menurut kenyataan yang dimuat naik di media sosial Mohamad.

Pada CHOGM 2026, Mohamad dijadual mewakili Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan antara agenda yang bakal diberi perhatian ialah usaha meneroka peluang perdagangan dan pelaburan.

Malaysia turut menyambut baik peluasan jaringan hubungan Komanwel apabila Bahrain, Brazil, Kuwait, Qatar dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) dijemput menghadiri CHOGM buat kali pertama.

Dalam rangka lawatannya ke New York, Mohamad turut mempunyai jadual padat melibatkan beberapa mesyuarat peringkat tinggi di Ibu Pejabat PBB, termasuk Suruhanjaya Pembinaan Keamanan (PBC), Mesyuarat Penyelarasan Tahunan Menteri-Menteri Luar Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) serta mesyuarat bagi menyokong Agensi Bantuan dan Kerja PBB untuk Pelarian Palestin (UNRWA).

Beliau turut dijadual terlibat dalam mesyuarat peringkat tinggi berhubung ancaman kenaikan paras laut selain mengadakan beberapa pertemuan dua hala sepanjang berada di New York.

Mohamad berada di New York dari 23 hingga 27 September bagi mengetuai delegasi Malaysia ke UNGA 81. – BERNAMA

RELATED ARTICLES
- Iklan -

Most Popular

Jumaat, 25 September 2026 | --:--:-- pagi
CARI DI MYBERITA
|