PERMATANG PAUH – Penunggang motosikal yang merempuh dua murid sekolah rendah ketika mereka menggunakan lintasan pejalan kaki di hadapan sebuah sekolah, semalam, sudah tampil membuat laporan polis.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Aminuddin Raja Abdullah berkata, individu terbabit hadir ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik susulan kejadian kira-kira jam 7.20 pagi itu.
“Penunggang berkenaan hadir ke balai polis trafik untuk membuat laporan polis dan tiada sebarang tangkapan dibuat,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Menurut beliau, kedua-dua mangsa yang berusia lapan dan sembilan tahun hanya mengalami kecederaan ringan.
Katanya, polis masih menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca serta mendapatkan gambaran lengkap kejadian.
Insiden itu mendapat perhatian selepas rakaman video berdurasi 30 saat mengenainya tular di media sosial.
Rakaman berkenaan memaparkan kedua-dua murid melintas menggunakan lintasan pejalan kaki sambil ditemani seorang lelaki dewasa.
Lelaki itu bagaimanapun dilihat hanya memimpin mereka sehingga ke pertengahan jalan sebelum berpatah balik.
Ketika kedua-dua murid meneruskan langkah untuk menyeberang, sebuah motosikal tiba lalu merempuh mereka.
Penunggang motosikal terbabit kemudian dilihat berhenti seketika dan memberi penjelasan kepada pengawal keselamatan sekolah yang bergegas memeriksa keadaan mangsa.
