Khamis | 24/09/2026 | 5:12:01 pm
HomeNasionalNegeriExco tidak pernah buat keputusan turunkan Yang di-Pertuan Besar - Ismail Lasim

Exco tidak pernah buat keputusan turunkan Yang di-Pertuan Besar – Ismail Lasim

SEREMBAN – Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim tampil menjawab teguran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan menegaskan beliau dan barisan Exco negeri tidak pernah membuat keputusan untuk menurunkan atau melantik Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.

Sebaliknya, Ismail menjelaskan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) hanya membincangkan pendirian pentadbiran negeri terhadap proklamasi yang dikemukakan sebagai keputusan Undang Yang Empat.

“Persetujuan MMKN terhadap tindakan pentadbiran susulan tidak bermaksud MMKN mengambil alih kuasa para Undang atau menjadi pihak yang membuat keputusan mengenai kedudukan Yang di-Pertuan Besar,” katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.

Penjelasan itu dibuat susulan kenyataan Anwar pada Rabu yang menyifatkan tindakan Ismail dan Exco berkaitan kedudukan Yang di-Pertuan Besar, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir sebagai “biadab” dan “tidak bertamadun”.

Perdana Menteri ketika mengulas kemelut berkenaan menegaskan pentadbiran negeri tidak mempunyai mandat untuk mempertikaikan kedudukan Raja, selain menekankan kepentingan memelihara dan memartabatkan institusi Raja-Raja Melayu.

Mengulas teguran berkenaan, Ismail berkata beliau menghormati keprihatinan Perdana Menteri terhadap institusi diraja, namun khuatir pandangan tersebut dibuat berdasarkan gambaran yang tidak lengkap mengenai peranan sebenar Menteri Besar dan Exco dalam isu berkenaan.

“Saya menghormati keprihatinan Perdana Menteri terhadap institusi diraja. Namun saya khuatir teguran tersebut berasaskan gambaran yang tidak lengkap tentang peranan sebenar Menteri Besar dan Exco dalam perkara ini,” katanya.

Ismail pada masa sama menegaskan kerajaan negeri tidak akan mencampuri sebarang siasatan, pertimbangan adat atau proses pemilihan yang berada dalam bidang kuasa pihak yang ditentukan menerusi Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.

Menurutnya, persoalan berhubung kesahihan proklamasi, pematuhan tatacara serta kesan dari sudut perlembagaan perlu ditentukan berdasarkan Undang-Undang Tubuh berkenaan dan proses perundangan yang berkaitan.

“Kami menghormati apa-apa perintah mahkamah yang berkuat kuasa,” katanya.

Kemelut membabitkan institusi diraja dan pentadbiran Negeri Sembilan menjadi perhatian selepas timbul pertikaian berhubung proklamasi berkaitan kedudukan Tuanku Muhriz serta bidang kuasa pihak-pihak yang terlibat. – MYBERITA

RELATED ARTICLES
- Iklan -

Most Popular

Khamis, 24 September 2026 | --:--:-- pagi
CARI DI MYBERITA
|