TANJONG MALIM – Aduan yang dikemukakan sebuah parti komponen Perikatan Nasional (PN) menjadi antara faktor sehingga Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) mengambil tindakan menggantung semua aktiviti gabungan berkenaan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, tindakan RoS bukan dibuat secara sewenang-wenangnya, sebaliknya susulan aduan diterima berkaitan kepincangan yang didakwa berlaku dalam PN.
“Tentunya ada beberapa kepincangan yang telah berlaku dalam Perikatan Nasional yang menyebabkan penggantungan ini dibuat oleh RoS.
“Dalam konteks ini, tentunya ada rungutan ataupun aduan yang dihantar oleh sebuah daripada parti gabungan itu menyebabkan penggantungan telah dilakukan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan sidang pertama Majlis Konvokesyen Politeknik dan Kolej Komuniti Zon Tengah Tahun 2026 di Dewan Tuanku Canselor, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), di sini, hari ini.
Menurut Ahmad Zahid, RoS mempunyai tanggungjawab di bawah Akta Pertubuhan 1966 untuk menjaga kepentingan anggota pertubuhan yang berdaftar dengannya.
Dalam pada itu, beliau berharap PN serta parti komponennya menghadapi perkembangan berkenaan dengan tenang, khususnya menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Ahmad Zahid berkata, gabungan itu dijangka mempunyai perancangan tersendiri sekiranya penggantungan berkenaan berterusan.
“Tentunya parti-parti gabungan itu akan menggunakan lambang parti masing-masing untuk masuk ke gelanggang pilihan raya negeri Melaka atau pilihan raya umum yang akan datang,” katanya.
Terdahulu, RoS mengeluarkan perintah menggantung semua kegiatan PN berkuat kuasa 23 September di bawah Subseksyen 13(2A) Akta Pertubuhan 1966.
RoS menjelaskan tindakan itu dibuat susulan notis bertarikh 22 September yang meminta PN memberikan penjelasan berhubung aduan dikemukakan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Aduan Bersatu sebelum ini antaranya membabitkan dakwaan parti berkenaan tidak dilibatkan dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi PN pada 16 Julai selain isu berkaitan kedudukan keanggotaannya dalam gabungan tersebut.
RoS turut menegaskan notis berkenaan bukan keputusan membatalkan pendaftaran PN, sebaliknya memberi ruang kepada gabungan itu mengemukakan penjelasan dalam tempoh munasabah. – BERNAMA
