Khamis | 24/09/2026 | 3:23:28 pm
HomeNasionalExco 'terkunci' dari Wisma Negeri, Ismail bimbang urusan rakyat terjejas

Exco ‘terkunci’ dari Wisma Negeri, Ismail bimbang urusan rakyat terjejas

SEREMBAN – Urusan pentadbiran Negeri Sembilan dikhuatiri terjejas selepas barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) didakwa tidak lagi dibenarkan memasuki pejabat masing-masing di Wisma Negeri dan menjalankan tugas rasmi sejak semalam.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim berkata, larangan berkenaan hanya disampaikan secara lisan tanpa sebarang arahan bertulis atau perintah mahkamah dikemukakan setakat ini.

Beliau berkata, keadaan itu perlu diselesaikan segera kerana tugas Exco melibatkan pelbagai urusan kerajaan termasuk pembangunan, tuntutan dan penyaluran bantuan kepada rakyat.

“Saya menyerulah pihak berkuasa, tanpa alasan ataupun sebab-sebab tertentu dan tanpa arahan bertulis dan sebagainya, saya minta sangat dikaji semula perkara ini.

“Benarkan Exco masuk, benarkan mereka menjalankan tugas seperti biasa, dan mesyuarat Kerajaan Negeri MMK mesti diteruskan,” katanya pada sidang media di sebuah hotel di sini, hari ini.

Menurut Ismail, beliau berpandangan barisan Exco sedia ada masih sah dari segi undang-undang kerana beliau tidak pernah dirujuk atau memberikan nasihat mengenai pemberhentian mana-mana daripada mereka.

Beliau merujuk Perkara 38(5) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 dalam mempertahankan pendirian berkenaan.

Bagaimanapun, kenyataan Istana Negeri Sembilan pada 20 September lalu menyatakan pelantikan anggota Exco dibatalkan berkuat kuasa serta-merta selepas mereka didapati melanggar sumpah jawatan. Kenyataan itu turut merujuk Perkara XXXVIII(5), yang menyatakan seseorang anggota Exco selain Menteri Besar memegang jawatan selama diperkenankan Yang di-Pertuan Besar.

Ismail berkata, mesyuarat Exco perlu diteruskan bagi memastikan perkara berkaitan pentadbiran dan kepentingan rakyat tidak terhenti.

“Jika ini tersekat tanpa alasan yang munasabah, ia merupakan satu penafian kepada hak rakyat,” katanya.

Dalam masa sama, beliau menyeru semua pihak memberi ruang kepada proses perundangan, selain mengutamakan kepentingan rakyat serta menghormati institusi diraja negeri. – MYBERITA

RELATED ARTICLES
- Iklan -

Most Popular

Khamis, 24 September 2026 | --:--:-- pagi
CARI DI MYBERITA
|