Khamis | 24/09/2026 | 3:30:41 pm
HomeHiburan"Drama tempat saya berlatih",Zul Ariffin kembali rindu nak watak romantik

“Drama tempat saya berlatih”,Zul Ariffin kembali rindu nak watak romantik

KUALA LUMPUR – Selepas kerap tampil dalam filem aksi dan naskhah berkisar konflik rumah tangga, Zul Ariffin mengakui kerinduan terhadap drama romantik mendorongnya kembali ke kaca televisyen menerusi Takdirnya Cinta.

Pemilik nama sebenar Zulkifli Ariffin itu berkata, genre romantik bukan mudah dijayakan kerana kesilapan kecil termasuk kegagalan membina keserasian bersama heroin boleh dikesan penonton.

“Bukan bermaksud genre romantik itu susah, tetapi kalau kita tersilap, penonton boleh nampak. Paling penting tentunya keserasian dengan heroin supaya interaksi itu tidak membosankan,” kata Zul.

Menurut pelakon berusia 40 tahun itu, tempoh penceritaan drama yang lebih panjang memberi ruang kepada pelakon untuk mengembangkan watak dan membina hubungan meyakinkan bersama pasangan gandingan.

Katanya, pelakon utama dalam drama 20 episod mempunyai tempoh sekitar 20 jam untuk menghidupkan watak berbanding filem yang lazimnya berdurasi antara satu setengah hingga dua jam.

Pengalaman awal menerusi drama, telefilem dan televisyen turut menjadikan medium berkenaan sebagai medan penting untuknya mengasah kemampuan lakonan sebelum melangkah ke layar lebar.

“Saya sebenarnya rindu berlakon genre romantik dan drama. Harap-harap komedi romantik akan kembali kerana saya memang sangat sukakannya,” kata Zul.

Mengulas kecenderungan segelintir pelakon baharu memilih filem atau platform penstriman (OTT) berbanding drama televisyen, Zul berkata, keputusan itu mungkin dipengaruhi tawaran bayaran premium serta perubahan dalam industri.

Beliau tidak menyalahkan pilihan berkenaan, namun berpandangan drama masih menjadi antara platform terbaik untuk melatih pelakon mengawal emosi dan mengekalkan momentum watak sepanjang penggambaran.

“Drama banyak bermain dengan elemen melodramatik dan emosi. Memang boleh sampai berpinar mata, tetapi itu bagus untuk melatih diri sebagai pelakon. Apabila mendapat peluang lebih besar, kita sudah bersedia,” kata Zul.

Dalam masa sama, beliau menegaskan televisyen masih mempunyai kelompok penonton tersendiri dan tidak sepatutnya dianggap sebagai medium yang perlu ditinggalkan selepas seseorang pelakon berjaya menembusi industri filem.

Zul percaya masih ramai penonton mengikuti karya menerusi televisyen dan merindui kemunculannya dalam drama selepas sekian lama lebih aktif di layar lebar. – Utusan Malaysia

RELATED ARTICLES
- Iklan -

Most Popular

Khamis, 24 September 2026 | --:--:-- pagi
CARI DI MYBERITA
|