Khamis | 24/09/2026 | 3:30:36 pm
HomeHiburanIbu gelak tengok Afieq berlatih jadi lelaki 'lembut'

Ibu gelak tengok Afieq berlatih jadi lelaki ‘lembut’

KUALA LUMPUR – Rindu terhadap dunia lakonan membuatkan Afieq Shazwan mengetepikan kebimbangannya bakal dilabel sebagai lelaki lembut selepas menerima tawaran membintangi drama bersiri Sekali Lagi Bahagia.

Afieq atau nama sebenarnya Mohammad Shafieq Shazwan Zamros, 29, berkata, dia hampir menolak tawaran berkenaan kerana watak Izmir yang dibawakan jauh berbeza daripada personaliti sebenarnya.

“Saya tak nak nanti orang ‘cop’ saya lembut. Tetapi saya terima sebab rindu nak berlakon dan tengok muka sendiri di skrin,” kata Afieq.

Menurut penyanyi dan pelakon itu, watak berkenaan menjadi cabaran baharu kerana dia perlu memahami gaya pertuturan serta perwatakan seorang lelaki yang bersifat lembut dan tenang.

Bagi memastikan lakonannya kelihatan meyakinkan, Afieq melakukan kajian serta berlatih di hadapan cermin dan di rumah sehingga gelagatnya mencuit hati ibunya.

“Saya cari sifat itu dalam diri dan berlatih di depan cermin serta di rumah. Sampai mak saya pun tergelak melihat saya,” katanya.

Afieq turut mengakui bimbang sekiranya penerimaan positif penonton menyebabkan dia terus ditawarkan karakter sama pada masa akan datang.

Namun, dia terbuka meneroka pelbagai watak mencabar dan tidak mahu hanya dikenali menerusi karakter hero berwajah kacak.

“Kalau selepas ini ada watak lain yang mencabar dan belum pernah saya lakukan, saya akan rasa ia menarik. Asyik menjadi hero kacak sahaja pun terlalu biasa,” ujarnya.

Dalam pada itu, Afieq menjelaskan jalan cerita Sekali Lagi Bahagia tidak mengetengahkan hubungan songsang seperti yang mungkin disangka sesetengah pihak, sebaliknya lebih berteraskan unsur komedi dan persahabatan.

Drama terbitan iQIYI Original itu turut dibintangi Zara Zya, Izzue Islam, MK K-Clique dan Dayang Areeda.

Mengisahkan perjalanan hidup seorang ibu tunggal bersama anaknya, Sekali Lagi Bahagia akan mula ditayangkan menerusi platform penstriman iQIYI pada 25 September.

– MYBERITA

RELATED ARTICLES
- Iklan -

Most Popular

Khamis, 24 September 2026 | --:--:-- pagi
CARI DI MYBERITA
|