KUANTAN – Kalau kebiasaannya suara penyampai radio bergema dari dalam studio, Issey dan Fizie pula memilih lokasi luar biasa apabila membawa siaran Bro Pagi Gegar hingga ke puncak Menara 188 Kuantan, Pahang.
Bukan sekadar bersiaran secara langsung dari ketinggian, pasangan penyampai THR GEGAR itu turut mencuri perhatian apabila mempersembahkan dikir barat di lokasi berkenaan, sekali gus menggabungkan hiburan radio dengan seni tradisional Pantai Timur.
Pengurus Jenama THR GEGAR, Azah Sahrin berkata, pengalaman itu merupakan sebahagian daripada usaha stesen berkenaan mendekatkan diri dengan pendengar menerusi aktiviti yang keluar daripada kebiasaan.
“Apa yang dilakukan oleh Issey dan Fizie hari ini bukan sekadar menawan puncak Menara 188, tetapi turut membawa THR GEGAR ke satu pengalaman yang cukup istimewa.
“Mereka bersiaran secara langsung dari puncak menara dan yang paling menarik, turut mempersembahkan dikir barat pada altitud tertinggi di Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER),” katanya.
Menurut Azah, pemilihan dikir barat sebagai sebahagian daripada pengisian aktiviti itu juga mempunyai kaitan rapat dengan identiti masyarakat Pantai Timur.
Katanya, elemen budaya tempatan sengaja diketengahkan bagi memastikan aktiviti yang dianjurkan bukan sekadar memberi hiburan, tetapi turut mempunyai nilai tersendiri.
“Ini merupakan satu detik yang sangat bermakna buat THR GEGAR kerana kami sentiasa mahu mencipta kandungan yang segar, dekat dengan pendengar dan pada masa sama meraikan identiti serta budaya Pantai Timur.
“Dikir barat yang dibawakan oleh Issey dan Fizie di lokasi setinggi ini menjadikan pengalaman tersebut lebih istimewa,” ujarnya.
Azah berkata, pendekatan membawa kandungan radio ke lokasi luar studio akan terus diterokai bagi memberi pengalaman berbeza kepada pendengar.
“THR GEGAR akan terus mencari idea dan pengalaman baharu untuk dibawakan kepada pendengar. Kami mahu setiap aktiviti bukan sahaja menghiburkan, tetapi mempunyai nilai tersendiri dan meninggalkan kenangan kepada pendengar,” katanya.
Aksi Issey dan Fizie di puncak Menara 188 itu secara tidak langsung memperlihatkan bagaimana kandungan radio boleh diterjemahkan dalam bentuk pengalaman secara langsung, sambil mengetengahkan elemen seni dan budaya tempatan kepada khalayak. – MYBERITA
