KUALA LUMPUR – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menafikan dakwaan bahawa etnik Rohingya bakal dibenarkan mengambil lesen memandu di Malaysia yang tular di media sosial.
JPJ menerusi kenyataan memaklumkan kandungan berkenaan adalah palsu dan menggunakan imej serta identiti jabatan sehingga seolah-olah ia datang daripada sumber rasmi.
Menurut JPJ, kandungan tersebut disiarkan menerusi sebuah akaun Facebook dengan tajuk “JPJ Cadang Benarkan Rohingya Ambil Lesen Memandu?”, sekali gus mencetuskan perhatian dan pelbagai reaksi dalam kalangan pengguna media sosial.
JPJ berkata pihaknya memandang serius tindakan mana-mana pihak yang menghasilkan, mengubah suai atau menyebarkan kandungan menggunakan nama, identiti atau imej jabatan sehingga boleh mengelirukan masyarakat serta menjejaskan kredibiliti agensi berkenaan.
Susulan penyebaran kandungan tersebut, JPJ memaklumkan laporan telah dibuat kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bagi membolehkan siasatan serta tindakan sewajarnya diambil.
Dakwaan sama turut tersebar bersama imej beberapa pegawai JPJ dalam satu sidang media sebelum disertakan dengan tajuk berkaitan kebenaran mengambil lesen memandu yang mengundang pelbagai reaksi pengguna media sosial.
Dalam pada itu, JPJ mengingatkan orang ramai supaya tidak terus mempercayai atau berkongsi sesuatu maklumat sebelum memastikan kesahihannya.
Orang ramai turut dinasihatkan supaya merujuk saluran rasmi JPJ bagi mendapatkan maklumat yang tepat dan mengelakkan penyebaran kandungan palsu yang boleh mengelirukan masyarakat. – Oh! Media
