SEREMBAN – Polis Negeri Sembilan mengesahkan kawalan akses terhadap bekas barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) ke Wisma Negeri dilaksanakan atas faktor keselamatan dan ketenteraman awam, sambil menegaskan tindakan itu tidak boleh ditafsirkan sebagai memihak kepada mana-mana pihak.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, langkah berkenaan diambil sejurus pengumuman pembatalan pelantikan bekas Exco oleh pihak Istana Negeri Sembilan.
“Pihak polis telah melaksanakan pengurusan akses ke pejabat Wisma Negeri terhadap bekas barisan Exco Negeri Sembilan sejurus pengumuman pembatalan pelantikan yang dibuat oleh pihak Istana Negeri Sembilan.
“Tindakan ini bagi memastikan aspek keselamatan, ketenteraman awam dan kelancaran urusan di premis berkenaan terus terpelihara,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Menurut Alzafny, kehadiran anggota polis turut melibatkan beberapa lokasi lain termasuk Galeri Diraja Tuanku Ja’afar dan Balai Undang Luak Sungei Ujong.
Katanya, kawalan itu dibuat berdasarkan penilaian keselamatan semasa dan keperluan pengurusan premis bagi mengelakkan sebarang keadaan yang boleh mencetuskan ketegangan atau menjejaskan ketenteraman awam.
Dalam masa sama, beliau menegaskan tindakan polis bukan satu bentuk pengiktirafan terhadap mana-mana pihak ketika perkara berkenaan masih melalui proses perlembagaan dan perundangan.
“Tindakan berkenaan tidak seharusnya ditafsirkan sebagai PDRM memihak atau memberikan pengiktirafan kepada mana-mana pihak dalam perkara yang sedang melalui proses perlembagaan dan perundangan,” katanya.
PDRM turut mengambil maklum kenyataan Jabatan Peguam Negara berhubung Proklamasi bertarikh 19 April 2026 serta perkembangan proses perundangan berkaitan perkara itu.
Alzafny berkata, polis menghormati proses perlembagaan, perundangan dan institusi yang sedang berjalan serta tidak akan membuat sebarang penentuan terhadap perkara yang berada di luar bidang kuasanya.
Beliau turut memberi amaran bahawa polis tidak akan berkompromi dengan sebarang tindakan melanggar undang-undang, mencetuskan provokasi, mengganggu ketenteraman awam atau mengancam keselamatan individu dan institusi.
Orang ramai pada masa sama dinasihatkan supaya kekal tenang, menghormati proses undang-undang serta tidak menyebarkan spekulasi atau maklumat tidak disahkan yang boleh menimbulkan kekeliruan dan ketegangan.
PDRM akan terus memantau perkembangan semasa dan mengambil langkah keselamatan bersesuaian bagi memastikan keamanan serta ketenteraman awam di Negeri Sembilan terus terpelihara. – MYBERITA
