SEPANG – Daripada jatuh sakit sehingga kabel pedal brek simulator terputus pada saat akhir, jaguh e-Sukan negara, Taj Izrin Aiman Taj Madira terpaksa mengharungi pelbagai dugaan sebelum mencipta sejarah meraih pingat emas di Sukan Asia Aichi-Nagoya.
Atlet berusia 27 tahun itu mendedahkan persiapannya hampir terganggu apabila kabel pedal brek dan minyak pada simulator yang dibawa dari Malaysia terputus sejurus tiba di Jepun.
Lebih mencemaskan, kerosakan itu berlaku ketika beliau perlu membuat persiapan terakhir menjelang saingan separuh akhir.
Menurut Taj Izrin, jurulatihnya yang juga bekas pelumba Formula Satu (F1) negara, Alex Yoong sanggup keluar pada tengah malam dengan menaiki teksi bagi mencari komponen gantian.
“Masa nak pasang simulator, wayar brek dan minyak terputus. Saya sangat berterima kasih kepada jurulatih kerana waktu tengah malam itu dia minta saya berehat, manakala dia bergegas menaiki teksi mencari komponen tersebut.
“Alhamdulillah, kami berjaya menemui komponen gantian dan saya sempat berlatih pada saat-saat akhir,” katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), hari ini.
Bukan sekadar masalah teknikal, persiapan Taj Izrin turut terjejas apabila keadaan kesihatannya merosot sehingga terpaksa berehat daripada latihan selama empat hari.
Namun, segala cabaran itu akhirnya terbayar apabila beliau berjaya menghadiahkan pingat emas kepada negara.
“Walaupun penat membawa kelengkapan simulator dari Malaysia dan diuji dengan macam-macam, kejayaan membawa pulang emas ini adalah satu kejayaan paling manis buat kami,” katanya.
Sementara itu, Alex berkata, persiapan mereka dua minggu sebelum temasya berkenaan pada awalnya berjalan lancar sebelum beberapa masalah muncul menjelang pertandingan.
“Dia sakit dan terpaksa terlepas latihan selama empat hari. Itu bukan sesuatu yang baik. Kemudian kami berdepan masalah simulator apabila kabel itu rosak.
“Kami tidak tidur malam itu kerana cuba mencari kabel berkenaan. Namun, akhirnya semuanya berjaya diselesaikan,” katanya. – MYBERITA
