KUALA LUMPUR – Kualiti udara di Sarawak menunjukkan perkembangan positif apabila bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di Sri Aman mencatatkan penurunan paling ketara setakat jam 4 petang, hari ini.
Berdasarkan data Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS), bacaan IPU di Sri Aman turun daripada 153 pada jam 3 petang kepada 148 sejam kemudian.
Serian turut menunjukkan penurunan dengan bacaan IPU 170. Bagaimanapun, daerah itu masih merekodkan bacaan tertinggi di Sarawak dan kekal dalam kategori tidak sihat.
Dua lagi kawasan yang berada pada tahap sama ialah Kuching dan Samarahan, masing-masing dengan bacaan IPU 158.
Penduduk di kawasan yang masih merekodkan bacaan IPU tidak sihat dinasihatkan supaya mengurangkan aktiviti di luar rumah serta memantau perkembangan kualiti udara dari semasa ke semasa.
Sementara itu, sebanyak 61 stesen pemantauan di seluruh negara mencatatkan kualiti udara sederhana.
Bukit Rambai, Melaka merekodkan bacaan tertinggi dalam kategori itu pada paras 90, diikuti Larkin dan Pasir Gudang di Johor dengan bacaan 85.
Sarikei pula mencatatkan bacaan 84, manakala Bintulu merekodkan IPU 83.
Di Lembah Klang, semua stesen kekal berada pada tahap sederhana dengan Shah Alam merekodkan bacaan tertinggi, iaitu 81.
Cheras dan Johan Setia masing-masing mencatatkan bacaan 78, diikuti Petaling Jaya (75), Kuala Selangor (74), Batu Muda (73), Putrajaya (70), Klang (68) serta Banting (63).
Dalam perkembangan sama, tiga stesen di Semenanjung merekodkan kualiti udara baik.
Besut, Terengganu mencatatkan bacaan IPU terendah negara, iaitu 33, diikuti Langkawi, Kedah (39) dan Tanah Merah, Kelantan (47).
Orang ramai, khususnya golongan berisiko seperti kanak-kanak, warga emas serta individu yang mempunyai masalah pernafasan, disaran mengehadkan aktiviti luar sekiranya keadaan jerebu kembali bertambah buruk.
