PUTRAJAYA – Tumpuan kini beralih kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) selepas pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka, dengan mesyuarat khas bagi menentukan urusan penting Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16 dijadualkan pada 7 Oktober depan.
Setiausaha SPR, Datuk Khairul Shahril Idrus berkata, mesyuarat berkenaan akan dipengerusikan Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun.
Menurutnya, antara perkara yang akan diputuskan termasuk tarikh Writ Pilihan Raya, Hari Penamaan Calon dan Hari Pengundian, selain daftar pemilih yang akan digunakan.
“Ia akan membincangkan tarikh-tarikh penting PRN DUN Melaka Ke-16 seperti tarikh Writ Pilihan Raya, Hari Penamaan Calon, Hari Pengundian, Daftar Pemilih yang akan digunakan dan lain-lain persiapan bagi melaksanakan pilihan raya tersebut,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata, SPR turut akan mengadakan sidang media sejurus mesyuarat khas itu selesai bagi memaklumkan perkara berkaitan kepada orang ramai.
Sebelum ini, Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh mengumumkan pembubaran DUN Melaka berkuat kuasa pada 23 September lalu, sekali gus membuka laluan kepada pelaksanaan PRN negeri berkenaan.
Pembubaran itu dibuat berdasarkan Fasal (2) Perkara 19 Perlembagaan Negeri Melaka.
DUN Melaka mempunyai 28 kerusi, manakala mandat kerajaan negeri ketika ini dijadualkan berakhir pada 31 Disember depan sekiranya tidak dibubarkan lebih awal. – KOSMO
