NAGOYA – Gimnas negara, Sharul Aimy Kamaru Hisam memberi bayangan Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 mungkin menjadi penampilan terakhirnya di temasya berkenaan selepas kecederaan lutut terus membelenggu prestasinya.
Kekecewaan jelas terpancar pada wajah gimnas berusia 25 tahun itu selepas menamatkan final acara lombol lelaki di tempat kelapan dengan kutipan keseluruhan 13.499 mata di Gimnasium Nagoya General, hari ini.
Sharul yang meraih gangsa dalam acara sama pada Sukan Asia Hangzhou mengakui gagal menterjemahkan perancangan yang disusun ketika beraksi di pentas final.
“Saya tidak berpuas hati dengan persembahan di final. Saya tidak dapat melaksanakan perancangan yang sudah dibuat.
“Saya tahu saya mempunyai peluang untuk naik podium jika dapat melakukan pendaratan dengan baik, tetapi nasib tidak menyebelahi saya,” katanya.
Sharul sebenarnya turun ke Aichi-Nagoya dalam keadaan persiapan terhad selepas berdepan kecederaan berulang pada lutut kiri sejak beberapa bulan lalu.
Malah, beliau pada awalnya tidak merancang menyertai temasya berkenaan sebelum mengambil keputusan untuk meneruskan cabaran selepas layak dan merasakan masih mempunyai peluang untuk mencabar kedudukan podium.
“Saya datang ke sini dengan persiapan yang kurang kerana sakit apabila berlari, melompat dan mendarat. Saya cuba berlatih secara minimum, mungkin sekitar 50 peratus, dengan memberi tumpuan kepada perkara penting.
“Ini mungkin Sukan Asia terakhir saya. Ramai atlet muda semakin meningkat dan kita tidak tahu apa yang akan berlaku dalam beberapa tahun akan datang,” katanya.
Sharul sebelum ini mara ke final selepas menduduki tempat kelima pada peringkat kelayakan dengan catatan 13.833 mata.
Selepas berakhirnya kempen di Nagoya, Sharul akan berehat sebelum mendapatkan pemeriksaan lanjut bagi menentukan sama ada perlu menjalani satu lagi pembedahan pada lutut kirinya.
Menurutnya, keputusan untuk menjalani pembedahan juga berkemungkinan memberi kesan terhadap perancangannya memburu kelayakan ke Sukan Olimpik Los Angeles 2028.
Dalam aksi final, gimnas Filipina, Carlos Yulo mengungguli saingan untuk meraih pingat emas dengan 14.599 mata, diikuti wakil Iran, Mahdi Olfati yang membawa pulang perak dengan 14.533 mata.
Gimnas Hong Kong, Ng Ka Ki pula melengkapkan kedudukan podium selepas mengumpul 14.116 mata. – MYBERITA
