Sabtu | 26/09/2026 | 1:46:47 pm
HomeTerkiniDibina dengan harapan, Secangkir Kafe akhirnya diroboh selepas pemilik maut

Dibina dengan harapan, Secangkir Kafe akhirnya diroboh selepas pemilik maut

KUALA LUMPUR – Premis Secangkir Kafe yang diusahakan sepasang suami isteri di Kuantan, Pahang akhirnya dirobohkan semalam selepas kedua-dua pengusahanya meninggal dunia dalam kemalangan di Lebuh Raya Pantai Timur Fasa 1 (LPT1), baru-baru ini.

Perkara itu dikongsikan menerusi satu hantaran di aplikasi Threads oleh pengguna @Tengku_ejan yang memaparkan kerja-kerja merobohkan premis berkenaan.

Menurut individu itu, keputusan tersebut bukan sesuatu yang mudah, namun terpaksa dilakukan selepas pemilik premis meninggal dunia.

“Ada projek yang kita bina dengan bangga dan ada projek yang kita terpaksa buka semula, bukan kerana kerja itu tidak bagus, tetapi kerana sebuah cerita telah berubah,” katanya.

Beliau turut berkongsi rasa sebak ketika melihat premis yang pernah dibina itu dikembalikan kepada keadaan asal.

“Hari ini, kami kembali untuk merobohkan semula apa yang pernah kami bina dan mengembalikannya kepada keadaan asal.
“Pemiliknya telah pergi buat selama-lamanya akibat kemalangan. Di sebalik setiap dinding yang dirobohkan, ada kenangan yang pernah tercipta,” katanya.

Menerusi klip video yang dikongsikan, kerja-kerja merobohkan Secangkir Kafe melibatkan beberapa struktur bangunan selain papan tanda premis turut ditanggalkan.

Sebelum ini, Secangkir Kafe diusahakan oleh pasangan suami isteri, Nur Atiqah Sofiya, 32, dan Nazatullah Nazmi, 32, selepas pandemik COVID-19.

Bagaimanapun, pasangan berkenaan meninggal dunia dalam kemalangan membabitkan 11 kenderaan di Kilometer 110.4 LPT1, baru-baru ini.

Lebih menyayat hati, kemalangan itu turut meragut nyawa anak tunggal pasangan berkenaan, Muhammad Armaan Nazeef.

Susulan tragedi tersebut, keluarga mangsa mengambil keputusan untuk tidak meneruskan operasi Secangkir Kafe memandangkan ahli keluarga masing-masing mempunyai pekerjaan dan perniagaan sendiri.

Pemergian pasangan itu bukan sahaja meninggalkan kesan kepada keluarga, malah turut menamatkan perjalanan sebuah perniagaan yang dibina bersama selepas melalui cabaran pandemik. – kosmo

RELATED ARTICLES
- Iklan -

Most Popular

Sabtu, 26 September 2026 | --:--:-- pagi
CARI DI MYBERITA
|