KUALA LUMPUR – Segala bentuk drama dan filem yang mempromosikan budaya buli secara tidak langsung atas alasan memberikan pengajaran kepada penonton perlu dihentikan kerana dikhuatiri mencetuskan perlakuan ‘copycat’ dalam kalangan anak muda.
Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, kandungan sedemikian dikhuatiri memberi pengaruh negatif terhadap golongan muda.
Beliau berkata, penghasilan kandungan yang memaparkan budaya buli atas alasan memberi pengajaran tidak seharusnya menjadi ruang untuk golongan muda meniru perlakuan tersebut.
“Hentikanlah segala bentuk drama atau filem yang mempromosikan buli secara tidak langsung atas nama ‘pengajaran’ yang akhirnya membawa kepada perlakuan ‘copycat’ dalam kalangan anak muda berlagak kapla, taiko, otai dan sebagainya,” katanya menerusi hantaran di Threads pada Sabtu.
Gesaan itu dibuat susulan kejadian membabitkan Muhammad Idlan Fareeq Shahril, 14, yang ditemukan tidak sedarkan diri di kawasan asrama sebelum disahkan meninggal dunia di Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN), pada Jumaat malam.
Mangsa yang berasal dari Gemencheh itu merupakan anak sulung daripada tiga beradik.
Sebelum ini, media melaporkan Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintenden Muhamad Mustafah Hussin mengesahkan kejadian berkenaan.
Beliau berkata, proses bedah siasat terhadap mangsa akan dijalankan di Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ), Seremban. – sinar harian
