Sabtu | 26/09/2026 | 5:10:32 pm
HomeTerkiniAksi dua lelaki umpil tabung surau dirakam CCTV, kini diburu polis

Aksi dua lelaki umpil tabung surau dirakam CCTV, kini diburu polis

SHAH ALAM – Dua lelaki dipercayai mencuri wang daripada dua tabung sumbangan di sebuah surau pangsapuri di Seksyen 16, di sini, selepas mengumpil tabung berkenaan awal pagi semalam.

Kejadian kira-kira pukul 2.30 pagi itu dirakam kamera televisyen litar tertutup (CCTV) surau sebelum rakaman berkenaan tular di aplikasi Threads.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Sarudin Samah berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu daripada seorang ahli jawatankuasa surau pada pukul 5.25 petang.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kedua-dua suspek yang masih belum dikenal pasti memasuki kawasan surau melalui pintu pagar utama sebelum mengumpil dua tabung yang diletakkan di bahagian hadapan premis.

“Jumlah kerugian masih belum dapat dipastikan setakat ini kerana wang tersebut merupakan hasil sumbangan orang ramai yang berkunjung ke surau berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, polis kini menjalankan siasatan terperinci selain usaha mengenal pasti dan mengesan kedua-dua suspek yang terlibat sedang giat dilakukan.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda jika sabit kesalahan.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta menghubungi Penolong Pegawai Penyiasat Jenayah, Sarjan Mohd. Fazril Hamid di talian 012-647 6747 atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran,” katanya. – KOSMO

RELATED ARTICLES
- Iklan -

Most Popular

Sabtu, 26 September 2026 | --:--:-- pagi
CARI DI MYBERITA
|