Ahad | 27/09/2026 | 4:34:14 pm
HomeSukanAzeem sah tidak sertai 4x100m, kuartet negara aktifkan 'pelan B'

Azeem sah tidak sertai 4x100m, kuartet negara aktifkan ‘pelan B’

NAGOYA – Hasrat melihat Muhammad Azeem Mohd Fahmi kembali membantu kuartet 4×100 meter (m) lelaki negara di Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 tidak kesampaian apabila jaguh pecut itu sah tidak disenaraikan dalam aksi berkenaan susulan kecederaan dialaminya.

Berdasarkan senarai terbaharu yang dikongsikan Olahraga Malaysia hari ini, kuartet negara bagi saringan pertama 4x100m lelaki akan dibarisi Pengiran Aidil Auf Hajam, Muhammad Umaira Subri, Mohamad Armin Zahryl Abd Latif dan Danish Iftikhar Muhammad Roslee.

Mereka dijadual turun beraksi pada 9.12 malam waktu Malaysia, sekali gus mengesahkan pelan sandaran yang sebelum ini disebut Danish terpaksa digunakan tanpa khidmat Azeem.

Perkembangan itu hadir selepas status Azeem menjadi tanda tanya susulan kecederaan yang dialaminya semalam, dengan pasukan negara sebelum ini menunggu penilaian doktor sebelum menentukan sama ada pelari berkenaan mampu meneruskan saingan.

Danish sebelum ini mengakui ketiadaan Azeem memberi kesan kepada kekuatan kuartet negara, namun menegaskan mereka bersedia meneruskan perjuangan dengan barisan pelari sedia ada.

“Untuk kami, kami akan terus berjuang apa-apa terjadi sekalipun. Tiada Azeem memang satu kekurangan untuk pasukan Malaysia, tetapi sekiranya Azeem tidak dapat bertanding bersama kami, kami ada pelan sandaran.

“Insya-Allah, kami akan buat yang terbaik untuk Malaysia dan diri kami sendiri,” katanya.

Selain Pengiran Aidil, Muhammad Umaira, Mohamad Armin dan Danish, Muhammad Haziq Mohamad Akhir sebelum ini turut disebut sebagai antara pilihan yang tersedia untuk memperkuatkan kuartet negara sekiranya Azeem tidak dapat diturunkan.

Tumpuan kini terarah kepada kemampuan empat pelari berkenaan untuk memastikan kempen Malaysia dalam acara 4x100m lelaki terus bernyawa meskipun tanpa khidmat antara pelari terpantas negara itu.

Dalam masa sama, Danish turut mempunyai satu lagi tugasan penting apabila dijadual beraksi dalam final 200m lelaki pada 6.35 petang waktu Malaysia hari ini.

Pelari berusia 19 tahun itu mara ke final selepas mencatat 20.76 saat pada separuh akhir, sekali gus memberinya peluang menguji kemampuan berdepan kelompok pelari terbaik Asia. – MYBERITA

Alif Aiman
Alif Aiman
Sebahagian daripada pasukan editorial MYBERITA yang memberi tumpuan kepada penyampaian berita pantas, tepat dan mudah difahami.
RELATED ARTICLES
- Iklan -

Most Popular

Ahad, 27 September 2026 | --:--:-- pagi
CARI DI MYBERITA
|