PUTRAJAYA – Lebih sebulan menanti tanpa kepastian, ahli keluarga 55 rakyat Malaysia yang masih belum ditemukan selepas tragedi banjir di Nepal kembali berkumpul di Wisma Putra, hari ini bagi mendapatkan perkembangan mengenai nasib insan tersayang.
Ahli keluarga dilihat tiba seawal pukul 9 pagi sebelum menghadiri pertemuan secara tertutup bersama wakil kerajaan yang dijangka memberi penjelasan lebih terperinci mengenai operasi pencarian, pengesahan serta proses mengenal pasti mangsa.
Pertemuan itu dijangka melibatkan wakil Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kimia Malaysia, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) serta Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Ia merupakan pertemuan rasmi kedua kerajaan bersama keluarga terjejas selepas sesi pertama diadakan pada 30 Ogos lalu, lima hari selepas bencana melanda pada 26 Ogos.
Ketika pertemuan pertama, taklimat tertutup turut diadakan selain sampel asid deoksiribonukleik (DNA) waris diambil bagi membantu proses pengecaman sekiranya terdapat penemuan mangsa.
Pasukan SMART yang terdiri daripada 11 anggota kemudian dihantar ke Nepal pada 5 September bagi membantu operasi mencari rakyat Malaysia yang hilang.
Sepanjang penugasan, pasukan berkenaan menjalankan pencarian darat selain tinjauan udara menggunakan dron di kawasan yang boleh diakses dengan selamat dan mendapat kebenaran pihak berkuasa Nepal.
Pasukan itu kembali ke tanah air pada 14 September, namun Wisma Putra menegaskan berakhirnya penugasan SMART tidak bermakna usaha menentukan status kesemua 55 rakyat Malaysia terbabit dihentikan.
“Kementerian kekal berhubung secara langsung dengan waris terdekat rakyat Malaysia yang terbabit dan akan terus menyalurkan perkembangan berdasarkan maklumat yang sudah disahkan,” menurut kenyataan Kementerian Luar sebelum ini.
Pihak berkuasa Nepal terus menjalankan usaha pencarian, pengesahan dan pengenalpastian, manakala kerajaan Malaysia meneruskan hubungan diplomatik dengan pihak berkaitan bagi mendapatkan kepastian mengenai status rakyatnya.
Pada 22 September, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut menyampaikan keresahan dan harapan keluarga mangsa kepada Perdana Menteri Nepal, Balendra Shah, selain membangkitkan keperluan satu mekanisme rasmi untuk membantu keluarga sekiranya rakyat Malaysia terbabit terus gagal dikesan.
Tragedi banjir dan aliran puing pada 26 Ogos lalu dilaporkan tercetus susulan runtuhan ais dan batu di kawasan tadahan hulu Lhende Khola di Tibet, mengakibatkan kemusnahan besar di kawasan terjejas.
Sehingga kini, keluarga 55 rakyat Malaysia berkenaan masih menunggu jawapan mengenai nasib anggota keluarga masing-masing. – BERNAMA
