Ahad | 27/09/2026 | 3:54:01 pm
HomeHiburanKonsert sulung jadi saksi, ALPHA menang dua trofi AIM25

Konsert sulung jadi saksi, ALPHA menang dua trofi AIM25

KUALA LUMPUR – Konsert sulung ALPHA, The First Wave bertukar menjadi malam penuh emosi apabila kumpulan M-pop itu menerima khabar kemenangan Anugerah Industri Muzik ke-25 (AIM25) ketika sedang berada di atas pentas Zepp Kuala Lumpur, semalam.

Detik tidak disangka-sangka itu tercetus apabila peminat yang hadir tiba-tiba menjerit memaklumkan ALPHA diumumkan sebagai pemenang kategori Artis Baru Terbaik pada AIM25.

Tujuh anggotanya, Ariel Fesol, Rizal Rasid, Daniel Sher, Araff, Izat, Ray-D dan Afiq Sky pada awalnya kelihatan terkejut sebelum melompat kegembiraan sebaik menyedari berita tersebut.

Kegembiraan kemudian bertukar sebak apabila mereka tidak menyangka perjalanan seni sebagai sebuah kumpulan mendapat pengiktirafan pada pentas berprestij industri muzik tempatan.

“Alhamdulillah. Allahuakbar! Allah maha besar. Ribuan terima kasih kepada AIM25 kerana mengangkat ALPHA dan memberi ALPHA peluang. Kami tak akan sia-siakan peluang ini,” kata Ariel.

ALPHA menewaskan empat pencabar lain dalam kategori Artis Baru Terbaik iaitu Rezza Shah, Ary Husin, Qal-G dan Yusuf Kasim.

Malam bersejarah itu menjadi lebih manis apabila ALPHA turut membawa pulang trofi Lagu Pop Terbaik menerusi lagu P. Ramlee Saloma.

“Kami ialah tujuh jiwa yang bersatu. Terima kasih kepada Alphanite. Anugerah ini adalah untuk kalian,” katanya.

Kemenangan P. Ramlee Saloma turut mencuri perhatian selepas lagu berkenaan sebelum ini menjadi perdebatan dalam kalangan peminat muzik apabila gagal melangkah ke Separuh Akhir Muzik Muzik 40.

ALPHA merupakan kumpulan lelaki M-pop yang dibentuk menerusi program realiti Big Stage ALPHA di Astro.

Membawa identiti muzik Malaysia yang versatil, kumpulan itu mengetengahkan pelbagai genre termasuk pop, balada, rock, rap dan muzik berkonsepkan tarian.

Selain P. Ramlee Saloma, antara karya yang melonjakkan nama ALPHA ialah Mona Lisa dan Gelato. – MYBERITA

Wartawan MYBERITA
Wartawan MYBERITAhttps://portalmyberita.com/
Wartawan MYBERITA membawakan laporan berita semasa, nasional dan perkembangan terkini dari seluruh Malaysia dengan penyampaian yang pantas, tepat dan mudah difahami.
RELATED ARTICLES
- Iklan -

Most Popular

Ahad, 27 September 2026 | --:--:-- pagi
CARI DI MYBERITA
|