Rabu | 30/09/2026 | 6:04:47 pm
HomeHiburanNew Boyz kembali 'meraung', pilih Singapura buka lembaran baharu selepas dua tahun

New Boyz kembali ‘meraung’, pilih Singapura buka lembaran baharu selepas dua tahun

KUALA LUMPUR – Selepas dua tahun tidak mengadakan persembahan, kumpulan popular era 2000-an, New Boyz bakal kembali menemui peminat dengan memilih Singapura sebagai lokasi membuka lembaran baharu perjalanan seni mereka menerusi New Boyz Meraung – Live in Singapore, Disember ini.

Konsert yang dijadualkan berlangsung di The Star Theatre, Singapura pada 5 Disember 2026, pukul 8 malam itu bakal menyaksikan Tomok bersama anggota New Boyz menghidupkan kembali deretan lagu yang pernah mencetuskan fenomena lebih dua dekad lalu.

Selain Tomok selaku vokalis, New Boyz kini dianggotai Jay dan Afiez pada gitar, Zack (bes) serta Along dan Ristoe (dram).

Tomok berkata, pemilihan Singapura mempunyai nilai sentimental buat kumpulan itu kerana negara berkenaan antara lokasi yang paling kerap mereka kunjungi ketika awal kemunculan New Boyz.

“Selepas dua tahun kami tidak mengadakan persembahan, New Boyz memilih untuk memulakan konsert di Singapura sebagai apresiasi kepada peminat di sini yang tidak pernah putus menyokong perjalanan seni kami sejak dahulu sehingga kini.

“Jika diimbau, Singapura adalah negara yang paling kerap New Boyz singgahi pada zaman awal kemunculan dan tanggal 5 Disember 2026 ini, kami mahu kembali bukan sahaja untuk membangkitkan nostalgia tetapi merayakan kesetiaan semua peminat buat kami,” katanya.

Tomok turut berharap konsert berkenaan mampu menghimpunkan peminat New Boyz bukan sahaja dari Singapura, malah Malaysia, Brunei dan Indonesia.

Sementara itu, penganjur MSN Entertainment berkata, nama ‘Meraung’ dipilih bagi mengimbau salah satu karya penting New Boyz yang terkandung dalam album Akur terbitan tahun 2000.

Menurut wakil MSN Entertainment, Aynn, lagu berkenaan masih mempunyai tempat tersendiri dalam kalangan peminat meskipun sudah 26 tahun diperkenalkan.

“Meraung adalah lagu yang cukup hit dari album Akur yang diterbitkan pada tahun 2000 dan kini, selepas 26 tahun ia masih relevan serta sangat signifikan kepada peminat lama serta bakal menjadi ‘salam kenal’ kepada semua peminat generasi baharu,” katanya.

Konsert berkenaan juga bakal mengetengahkan pilihan lagu daripada katalog New Boyz yang menjadi sebahagian daripada memori peminat, termasuk karya popular mereka, Sejarah Mungkin Berulang.

Tiket New Boyz Meraung – Live in Singapore ditawarkan dalam lima kategori iaitu Silver pada harga SGD99, Gold (SGD149), Platinum (SGD159), Diamond (SGD169) dan VIP (SGD259).

Pemegang tiket VIP akan menerima beberapa keistimewaan termasuk sesi bertemu anggota New Boyz, pas VIP eksklusif, lanyard, poster, beg tote serta akses laluan ekspres.

Tiket konsert anjuran MSN Entertainment itu boleh dibeli menerusi platform SISTIC. – MYBERITA

RELATED ARTICLES
- Iklan -

Most Popular

Rabu, 30 September 2026 | --:--:-- pagi
CARI DI MYBERITA
|