Selasa | 29/09/2026 | 1:19:29 am
HomeDunia"Ini bukan pengakhiran", Azeem terpaksa rehat enam minggu, tekad bangkit lebih kuat

“Ini bukan pengakhiran”, Azeem terpaksa rehat enam minggu, tekad bangkit lebih kuat

NAGOYA – “Ini bukan pengakhirannya.”

Itu tekad jaguh pecut negara, Muhammad Azeem Mohd Fahmi yang enggan membiarkan kecederaan pangkal paha mematahkan semangatnya meskipun terpaksa berehat selama enam minggu untuk menjalani proses pemulihan.

Pemegang rekod kebangsaan 100 meter berusia 22 tahun itu mengesahkan tahap kecederaannya selepas menjalani pemeriksaan bersama Institut Sukan Negara (ISN) dan ahli fisioterapi susulan insiden ketika final 100m lelaki Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026.

“Selepas pemeriksaan Institut Sukan Negara (ISN) dan ahli fisioterapi, saya mengalami kecederaan pangkal paha dan saya dijangka berehat selama enam minggu terutama untuk fokus kepada pemulihan,” katanya kepada Astro Arena.

Kecederaan itu berlaku ketika Azeem beraksi dalam final 100m pada Jumaat lalu sehingga menyaksikan beliau terpaksa memperlahankan larian sebelum menamatkan perlumbaan di kedudukan kelapan dengan catatan 14.65 saat.

Situasi berkenaan turut menyebabkan Azeem diketepikan daripada acara 4x100m lelaki sehari sebelum beliau kembali ke trek untuk membantu kuartet 4x100m campuran negara.

Meskipun belum pulih sepenuhnya, Azeem memilih untuk mengambil risiko beraksi dalam acara berpasukan itu sebelum menumpukan sepenuhnya kepada proses pemulihan selepas temasya.

Di sebalik kekecewaan gagal menghadirkan keputusan diharapkan dalam acara individu, Azeem berkata sokongan rakyat Malaysia menjadi antara sumber kekuatannya untuk terus bangkit.

“Saya sangat gembira bagi pihak anda semua yang masih percaya dan sokongan saya sampai hari ini.

“Ini bukan pengakhirannya. Walaupun ramai yang meragui potensi saya dan bergelut dalam dua final Sukan Asia tapi saya baru berumur 22 tahun.

“Banyak lagi yang boleh dicapai pada masa akan datang. Saya akan menggunakan sokongan motivasi orang di sekeliling untuk bangkit,” katanya.

Azeem sebelum ini mencipta sejarah dengan meraih gangsa acara 100m pada Sukan Asia Hangzhou 2022 menerusi catatan 10.11 saat. Rekod kebangsaan 100m miliknya pula kekal pada 10.09 saat.

Tempoh rehat enam minggu itu kini bakal menjadi fasa penting buat Azeem untuk memastikan kecederaannya pulih sepenuhnya sebelum kembali memburu sasaran seterusnya dalam karier olahraga. – Stadium Astro

Alif Aiman
Alif Aiman
Sebahagian daripada pasukan editorial MYBERITA yang memberi tumpuan kepada penyampaian berita pantas, tepat dan mudah difahami.
RELATED ARTICLES
- Iklan -

Most Popular

Selasa, 29 September 2026 | --:--:-- pagi
CARI DI MYBERITA
|